Sunday, August 31, 2014

Islam

Blok ini bertindak menyatukan umat Islam dan manusia di bawah pengertian kemanusiaan yang menyeluruh, keadilan, ihsan dan persaudaraan kemanusiaan yang penyayang. Semua manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas bukan Arab melainkan dengan taqwa dan amal soleh. Begitu juga, tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Sementara itu, ruang lingkup negara Islam meluas berkembang sehingga ia menyingkir banyak kerajaan dan bangsa daripada sejarah. Ia melaksanakan peranannya di peringkat global dengan sebaik-baiknya semasa zaman Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin. Gelombangnya berterusan semasa pemerintahan Umayyah, ‘Abbasiyyah dan ‘Othmaniyyah. Kerajaan Islam kekal sebagai negara terbesar di dunia selama kira-kira 13 kurun.

Umat Islam memerintah dengan adil dan saksama, tanpa ketaksuban. Kerana agama mereka amat bencikan ketaksuban.

Bukan dari kalangan kami orang yang mengajak kepada ketaksuban.

Urusan (mereka) dilakukan secara syura.

(وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ(٣٨

Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. (asy-Syura: 38)

Begitu juga, tiada kepatuhan kepada makhluk dalam perkara yang menjadi maksiat kepada Pencipta.

Kesejahteraan, keamanan, kasih-sayang dan keluhuran berkibar menaungi umat. Tiada perhambaan dan penghinaan. Semua menikmati kemerdekaan. ‘Umar al-Khoththob berkata demikian kepada ‘Amru bin al-‘Ash, pegawai di Mesir. -Anak beliau (‘Amru) telah memukul seorang rakyat berbangsa Mesir- seraya berbangga dengan nenek moyangnya dengan katanya: Ambil (penangan) ini! Aku anak orang-orang mulia. Maka, ‘Umar mengenakan qishosh kepadanya seraya berkata: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu mereka melahirkan mereka merdeka?!”

Fenomena ini berterusan hinggalah orang Islam meninggal­kan landasan hidup dan syariat mereka. Mereka bertukar dari­pada keadilan kepada hawa nafsu, persaudaraan kepada per­mu­suhan, syura kepada diktator, merdeka kepada perham­baan, keluhuran kepada kekejian, amal soleh kepada tindakan buruk dan daripada usaha produktif kepada banyak mulut. Akhirnya, kegagalan, pelucutan daripada kepimpinan bangsa dan pengunduran daripada arena kehidupan dan kemajuan.

Kesannya, kerugian adalah besar. Ia tidak terbatas kepada Arab sahaja, atau orang Islam sahaja, bahkan mencakupi seluruh kemanusiaan. Sejarah tidak pernah menyaksikan kerugian yang lebih dahsyat dan menyeluruh sepertinya. Ini kerana, dunia kehilangan mesej para Nabi, penyampai kepada petunjuk langit dan pemerintahan adil yang rabbani.

Bangsa Eropah menguasai kepimpinan. Di atas runtuhan negara Islam, mereka mengasaskan negara yang luas dan blok yang saling berjauhan sempadannya. Pertukaran besar ini mempengaruhi dan memberi kesan kepada kepimpinan bangsa dan dunia dari aspek agama, akhlak, politik, kehidupan umum dan kesudahan kemanusiaan.

Bagaimanakah keadaan yang akan berlaku, jika Dunia Islam pada hari ini bangkit daripada jatuh tersungkur, sedar dari­­pada lena dan kembali memacu arah kehidupan sekali lagi?

Adakah kuasa yang berdendam dan jahat akan membenar­kan petunjuk Islam kembali kepada umat? Adakah mereka akan membenarkan kebenaran Islam muncul di sesuatu negara? Atau mereka akan membakar setiap hidayah dan membinasakan setiap negara agar cahaya Islam tidak muncul kembali? Ini kita akan lihat dalam perbincangan yang seterusnya.

Kesejagatan Dakwah Dan Umat Islam

Pada masa dahulu, wahyu Ilahi memilih suatu kawasan bumi untuk ia turun; sebagaimana hujan turun di suatu tempat dan tidak di tempat lain, kerana keperluan manusia kepadanya. Saranan panduan Ilahi dan penyembuh rabbani sebelum ini hanya datang untuk merawat penyakit dan malapetaka di sesuatu kawasan yang tersebar wabak di situ. Tetapi perutusan Muhammad adalah anjakan baru yang berlaku untuk seluruh dunia, juga merupakan perubahan arus kehidupan ruhani di muka bumi. Ini kerana risalah terakhir tersebut datang sebagai penyelamat kepada semua manusia. Ia juga berperanan sebagai terapi bagi setiap bangsa, penyakit dan wabak. Selain itu, ia juga sentiasa mengikut perjalanan masa dan bersama sepanjang per­kembangan kehidupan. Apabila suatu generasi berakhir, generasi seterusnya termasuk dalam seruannya. Mereka dipertanggung­jawabkan untuk berjalan mengikut landasannya dan dituntut memikul dan menyeru kepadanya.

Dalil Kesejagatan Risalah Dalam Al-Quran

Kesejagatan dakwah dan risalah bukannya dakwaan yang direka-reka oleh orang Islam atau diperhias oleh para sejarawan. Ia adalah panduan al-Quran dan arahan rabbani. Rasulullah tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan­nya. Begitu juga orang Islam, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali memikul dan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab­nya.

Allah Taala berfirman:

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (٢٨

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba`: 28)

(إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ (٢٧) لِمَن شَاءَ مِنكُمْ أَن يَسْتَقِيمَ (٢٨

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. (at-Takwir: 27-28)

(تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا (١

Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (al-Furqan: 1)

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ 21:107)

(مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـٰكِن رَّسُولَ اللَّـهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا (٤٠

Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Ahzab 33:40)

Penutup kenabian menjadi akuan kepada kesejagatan ini. Lima benua tidak akan didatangi oleh tetamu dari langit hingga berlakunya Kiamat. Mana-mana rasul daripada Allah tidak akan diutuskan lagi. Al-Quran sahaja satu-satunya yang akan kekal men­jadi suara langit di kalangan manusia hingga berlakunya Kiamat.

Kesejagatan Dakwah Dalam Pengajarannya

Risalah Islam membangunkan kefahaman kesejagatan berlandaskan agama yang satu sejak azali dan selama-lamanya. Para nabi merupakan saudara dalam memperkenalkan Allah, mengemukakan dalil dan memimpin manusia kepada-Nya. Al-Quran dalam konteks ayatnya yang kekal menghimpunkan ajaran yang berselerakan daripada lidah para nabi. Islam mengfardhukan keimanan dengan semua nabi dan pengiktira­fan kepada kitab dan risalah mereka.

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٦

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.  (al-Baqarah 2:136)

Perkara normal untuk Muhammad s.a.w mengajak dunia kepada risalahnya sehingga Baginda menyampaikan dakwah Tuhannya dan menunaikan amanah yang dipertanggungjawab­kan kepadanya. Baginda memulakan seruan kepada kaumnya dan diikuti dengan bangsa Arab, kemudian mengutusi (perutusan) kepada Maharaja Rom, Raja Parsi, pemerintah Mesir, Najasyi Habsyah dan raja-raja yang bertebaran sekitar Semenanjung Tanah Arab. Baginda mengajak mereka kepada Islam, mentauhidkan Allah dan meninggalkan khurafat dan kebatilan yang mereka anuti.

الر ۚ كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿١﴾ اللَّـهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَوَيْلٌ لِّلْكَافِرِينَ مِنْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (٢) ا

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (Ibrahim 14:1-2)

Rancangan Televisyen Bersiri Umar Berjaya Meningkatkan Kefahaman Terhadap Sirah

Sebuah rancangan televisyen kontroversi, Umar telah berjaya memukau audiens dari seluruh dunia kerana menggambarkan suasana sirah yang sebenar.

Tiga Strategi Menghapuskan Kekuatan Islam

Musuh Islam berusaha menghapuskan Islam dengan memenggal kepalanya, mencabut ruh dan memotong-motong sendinya.

Serangan Salib Ke-8: Serangan Salib Di Zaman Moden

Serangan Salib Ke- 8 Selepas kekuatan umat Islam lemah dan kekuasaan pihak Salib kembali kuat, penjajah kembali melancarkan serangan­nya ke [...]

Pakatan Salib-Mongol: Pakatan Penjenayah

Ketika tentera Salib lemah, muncul kuasa yang menakut­kan di timur negara Islam iaitu Mongol. Mereka membinasakan negara yang mereka takluki, [...]

TAG CLOUD

POPULAR