Pengenalan Geografi Dunia Islam

 

Lokasi dan Sempadan Geografi

1.   Lokasi

Dunia Islam mempunyai keistimewaan kerana berada di tengah-tengah dunia dan memiliki pelbagai iklim. Ini menye­babkan Dunia Islam saling melengkapi dan mengimbangi. Ia terletak di pusat dunia, berpinggirkan banyak samudera dan lautan. Ia juga dilimpahi sungai terpenting dan terpanjang. Bahkan Dunia Islam paling banyak memiliki takungan air.

Pintu-pintu masuk ke Lautan Hindi berada di bumi Islam iaitu Selat Melaka di timur dan selat Bab al-Mandub di barat. Begitu juga, Laut Meditranean, Laut Merah, Laut Hitam dan Laut Mati turut berada di bumi Islam.

Kuala sungai air tawar yang banyak takungan airnya juga berada di Dunia Islam, antaranya:

1.    Sungai Nil, sungai terpanjang di dunia. Panjangnya 6695 km.

2.    Sungai Niger, panjangnya mencecah 4700 km.

3.    Sungai Sind, panjangnya mencecah 2900 km.

4.    Sungai Euphrate (Furat), panjangnya mencecah 2736 km.

5.    Sungai Zambezi, panjangnya mencecah 2700 km.

6.    Sungai Dijlah, panjangnya mencecah 1835 km.

7.    Sungai Senegal, panjangnya mencecah 1700 km.

8.    Sungai Oronte (al-Asi, Syria), panjangnya mencecah 571 km.

2.   Sempadan Geografi

Rentasan kawasan geografi Dunia Islam luas, meliputi daratan, ceruk rantau dan wilayah; melebihi 50 buah wilayah. Ini memberi impak dalam kepelbagaian sempadan dan gabungan kompleks rupa bentuknya. Bahkan ia mengakibatkan kesulitan untuk meletakkan sempadan geografinya. Jika kita bandingkan dengan Amerika Syarikat, India, Republik Kanada dan Australia, sempadan geografinya adalah jelas bagi setiap wilayah di benua dan kontinen tersebut. Ertinya, banyak wilayah Dunia Islam mempunyai pertindihan wilayah, iklim, blok geografi dan blok politik. Ia juga terletak berhampiran atau dikelilingi oleh negara-negara lain.

Dunia Islam dengan sempadannya kini, merentasi tiga benua kuno dunia; Asia, Eropah dan Afrika. Ia mengawal daratan dan permukaan air yang luas, iaitu Lautan Atlantik di barat, Laut Meditranean di utara, Lautan Hindi dan Laut Merah di timur. Ia juga mengawal beberapa laluan laut antarabangsa yang sesuai untuk aktiviti pelayaran sepanjang tahun dan yang terletak di jalan perdagangan global paling penting, khususnya jalan pengangkutan minyak mentah. Antara laluan ini ialah Selat Gibraltar (Jabal Thoriq), Selat Sicily, Terusan Suez, Bab al-Mandub dan Selat Mozambique.

Di selat-selat yang penting di arena global ini pula, dibangunkan pelabuhan yang menyediakan khidmat bagi laluan kapal dan pengawasan oleh pengkalan tentera. Kita sebutkan di sini secara khusus, pelabuhan Tanger (Thonjah), Melilla, Oran (Wahran), Tunis, Tripoli (Tarablus), Port Said, Suez, Djibouti, Aden, Dar Es Salaam dan Berbera.

Jumlah keluasan dunia Islam hampir mencapai 35 juta km2. Dengan angka keluasannya yang besar ini, dunia Islam menduduki tempat pertama di kalangan wilayah yang paling luas di dunia. Ia hampir menyamai keluasan dunia Kristian, jika boleh kita namakan demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *