Kuasa Pertanian dan Perindustrian Umat Islam

Melihat kepada keluasan tanah yang rata dan tidak rata, yang sesuai untuk pertanian di dunia Arab dan Islam, juga banyaknya sungai dan sumber air bawah tanah, kuasa pertanian umat Islam adalah amat besar. Pertanian mampu menjadi sumber kekayaan kepada negara. Ia juga mampu menjadi pendapatan strategik umat Islam yang penting. Di samping itu, pertanian juga mampu memperkaya dan memenuhi keperluan kegunaan dalaman negara seperti bijirin, buah-buahan dan sayuran. Ladang ternak dan pertanian juga menjadi sumber kegiatan penternakan dan asas kekayaan sumber haiwan yang besar, di samping membekalkan produk tenusu (susu, keju, mentega dan sebagainya).

Jaminan Pemakanan (Food Security)

Jaminan pemakanan didefinisikan sebagai kemampuan negara, wilayah atau keluarga yang menghadapi kekurangan sumber makanan untuk merealisasi piawaian kepenggunaan (konsumer) yang tertentu dari tahun ke tahun sehingga dapat berdikari dalam soal pemakanan.

Jaminan pemakanan tidak wujud dalam dua keadaan:

1.    Apabila pendapatan sebenar kelompok yang menghadapi krisis pemakanan merudum hingga ke tahap sukar bagi mereka memenuhi keperluan utama pemakanan untuk seisi keluarga. Sekalipun pada tahun tersebut produktiviti makanan tempatan berada di tahap normal atau lebih.

2.    Apabila berlaku penurunan hasil produk tempatan, peruba­han garis panduan polisi pemakanan atau kepincangan sistem import bahan makanan. Perkara ini mengakibatkan berlaku penurunan penawaran barangan makanan bagi rakyat sesuatu negara. Sekalipun pendapatan perkapita mereka kadang-kadang mencukupi untuk membelinya jika kedapatan dengan harga biasa.

Kedudukan Jaminan Pemakanan Umat Islam Kini

Kebanyakan negara Islam menghadapi masalah krisis makanan yang kronik. Untuk memenuhi keperluan bekalan maka­­­nan asasi, ia bergantung kepada import makanan dari­pada negara maju dalam kuantiti yang banyak. Ia membelan­jakan wang yang besar untuk mengimportnya. Perkara ini menjadi pengaliran keluar ekonomi negara yang amat besar.

Pada 1985 sahaja, negara Dunia Islam telah mengimport 99.8 juta tan bijirin yang nilainya menyamai USD 9.4 billion. Selain itu, ia juga menerima 6 juta tan bantuan makanan daripada pelbagai negara. Pada hari ini, nisbah tersebut telah bertambah, menjadikan import makanan kira-kira 200 juta tan bersamaan USD 25 billion. Dengan itu, kelompok Dunia Islam menjadi pembeli bahan makanan terbesar di dunia. Fenomena ini menjadikan mereka terdedah kepada ancaman yang dipanggil “senjata makanan”. Ia juga menjadikan Dunia Islam bergantung kepada belas ihsan kuasa besar yang mengenakan pelbagai syarat dan polisi yang mereka mahu ke atas Dunia Islam. ((Al-Amnu al-Ghiza`i fi al-‘Alam al-Islami, m.s 132-133.))

Kedudukan Yang Tidak Membawa Berita Baik

Apabila kita memeriksa kadar pertumbuhan Pendapatan Dalam Negara Kasar dalam sektor pertanian, dukacita kita dapati berlaku kemerosotan yang berterusan. Padahal, bilangan penduduk bertambah tidak berkurang. Di sesetengah negara Arab dalam tempoh 1973-1984 berbanding tempoh 1965-1973, kita dapati purata pada 1965-1973 di Tunisia ialah 6.6% tetapi merosot kepada 1.9%. Sementara Libya dari 11.5% kepada 6.5% dan Maghribi 4.8% kepada 0.6%. Manakala kadar pertumbuhan hasil pertanian di Mesir bersifat beku iaitu 2.6% dalam tempoh 1965-1973 berbanding 2.5% bagi tempoh 1973-1984.

Faktor kelemahan

Faktor paling utama kelemahan ini kembali kepada sebab berikut:

1.    Tanah yang sesuai untuk pertanian, sungai dan air dalam tanah tidak dimanfaatkan. Kerana nisbah tanah yang sesuai untuk pertanian berbanding tanah yang dimanfaatkan untuk tujuan tersebut adalah terlalu kecil. Contohnya, nisbah tanah yang digunakan berbanding yang tidak digunakan daripada keseluruhan tanah yang sesuai untuk pertanian di Sudan ialah 2.8%. Nisbah tanah yang dicucuk tanam di Mesir ialah 2.7%, Djibouti 0.1%, Iran 9%, Arab Saudi 0.05% danYaman 4%.

Oleh demikian, penggunaan tanah mestilah lebih besar daripada jumlah ini agar wujud jaminan pemakanan.

2.    Tidak bergantung kepada perkembangan sektor pertanian ataupun pertanian moden. Sektor pertanian di negara Islam masih lagi dijalankan secara primitif. Ia bergantung ke­­pa­da cara kuno yang telah pupus di kebanyakan negara lain. Menjadi kewajipan untuk bergantung kepada per­tanian yang dinamakan sebagai pertanian elit yang bertitik tolak daripada kemajuan cara dan medium yang digunakan. Contohnya penggunaan alat moden, benih kacukan berproduktiviti tinggi, racun serangga, baja pertanian yang diperlukan bagi setiap pertanian, pertanian giliran dan kepelbagaian tanaman, sistem perairan dan penggunaan luas jentera yang boleh menjimatkan usaha, tenaga dan bahan.

3.    Tidak prihatin dengan rakyat, masa depan, kualiti hidup, kemajuan dan tahap ekonomi mereka.

4.    Tiada kepakaran yang diperlukan dalam bidang ini sedang­kan pemerintah tidak berusaha menyediakannya. Begitu juga, tiada pelaburan modal dalam sektor penting ini.

5.    Tiada pengawasan rakyat terhadap pihak yang bertang­gung­­jawab. Tiada kebebasan dan perhitungan terhadap mereka yang silap atau cuai. Juga tiada perancangan pertanian yang telah dikaji, disedia dan mampu dilaksanakan.

6.    Anasir asing berusaha mendesak tenaga tani meninggalkan sektor pertanian yang strategik melalui tekanan suasana dan alasan yang lemah. Agar negara tersebut terus menerus me­mer­lu­kan atau bergantung kepada mereka. Negara tersebut juga akan terus menjadi pasaran bagi produk mereka.

Kuasa Perindustrian Dunia Islam

Dunia Islam dengan buminya yang luas, wilayah yang berbeza, iklimnya yang bermacam-macam serta zon permukaan bumi yang pelbagai menjadikan kekayaan galiannya beraneka ragam. Setengahnya kaya dengan sumber galian dan sebahagian­nya sederhana. Galian ini dianggap sandaran terpenting ekonomi Islam dan sokongan strategik paling besar di peringkat global.

Ini melihat kepada dunia sentiasa memerlukan semua jenis galian. Dengan kurniaan Allah, Dunia Islam amat kaya dengan galian sehingga boleh menimbulkan kedengkian. Bahkan ia menjadi sebab ketamakan penjajah sepanjang peredaran sejarah, dahulu mahupun moden. Ini kerana kekayaan galian mempunyai kepentingan dalam banyak segi:

1.    Kekayaan galian menjadi sumber kepada kekukuhan mata wang apabila berlaku lebihan produktiviti galian dalam mengeluarkan galian mentah, yang disaring, yang dikilang atau yang diusahakan (di rumah).

2.    Ia menjadi sokongan kuat untuk memperolehi kedudukan strategik dalam ekonomi, tamadun dan politik bagi wilayah pengeluarnya. Seterusnya Dunia Islam yang lain saling lengkap-melengkapi.

3.    Ia adalah tunggak yang terjamin bagi membangunkan pelbagai industri galian. Industri paling terkenal pada masa kini di bumi Islam ialah pemprosesan minyak, petro-kimia, besi, keluli dan timah.

4.    Dunia Islam kini mempunyai kedudukan perdagangan yang penting dalam mengeksport bahan galian dan bahan mentah belum diproses. Apabila ia bertindak memproses sendiri bahan tersebut, tidak seorangpun dapat menandingi dunia Islam dalam bidang ini.

5.    Galian yang dikeluarkan daripada dunia Islam boleh dianggap sebagai rizab yang sentiasa progresif bagi menyokong lombong-lombong galian. Ia juga menjamin kewujudan prasarana perlombongan/carigali di bumi Islam, seperti tempat tinggal, landasan, jalanraya, pengangkutan, kemudahan perkhidmatan awam dan kilang pengeluaran.

Pembahagian Bahan Galian di Dunia Islam

Sumber galian di dunia Islam terbahagi kepada pelbagai kategori, yang terpentingnya ialah:

1.    Galian tenaga, bahan api, kuasa dan enjin. Iaitu galian yang dianggap penggunaan asasi untuk menghasilkan pergera­­kan enjin, tenaga dan haba. Ia diwakili oleh minyak dan pel­ba­gai kandungannya, arang dan hasil pengeluarannya, uranium dan semua galian yang digunakan untuk mem­perolehi tenaga nuklear.

2.    Galian kimia. Ia digunakan secara khusus untuk industri kimia, contohnya baja, cat dan racun serangga. Kita maksudkan di sini galian seperti potassium, fosfat, garam galian, kobalt, manganese dan hematite.

3.    Galian logam dan jongkong. Ia adalah sumber semua logam dan jongkong yang diproses. Contoh yang paling penting ialah besi, tembaga, timah, plumbum, aluminium, manganese, kromium, titanum dan fanidum.

4.    Galian bahan pembuatan dan binaan. Kami maksudkan di sini ialah galian bukan logam (non-metalic) iaitu batu batan dagangan yang diproses untuk kegunaan kerja-kerja binaan. Secara khususnya, batu kapur, pasir, basalt, granit, stucco dan marmar.

5.    Galian perindustrian lain, termasuk industri jubin, seramik, porcellain dan bekas tahan bakar. Yang paling penting ialah batu tanah liat, tembikar, grafit, silika dan simen.

6.    Galian bernilai; seperti emas, perak, permata, platinum, gem (batu yang bernilai seperti ruby, topaz, sapphire), zamrud, delima dan mutiara.

Hakikatnya, Dunia Islam hingga kini menikmati kekayaan galian beraneka ragam. Sesetengahnya men­duduki rating tertinggi di arena antarabangsa dari segi produktiviti dan kualiti galian. Ia juga menyaingi negara lain dalam penge­luaran kuantiti galian. Cukuplah kita mengetahui 72% sim­panan petrol dunia, kita ­­miliki. Buat masa sekarang, kita mem­be­kalkan 36% daripada keluaran minyak dunia. Dunia Islam juga mengeluar­kan 47% daripada keluaran timah dunia, dan 27% keluaran tem­baga. Begitu juga dalam pengeluaran getah asli, ia menge­luar­­kan 75% daripada keluaran getah asli dunia. Sim­pa­nan bahan-bahan mentah Dunia Islam juga besar dan ber­aneka jenis, namun ia memerlukan kepada penerokaan dan pemasaran.

Keupayaan Perindustrian dan Daya Produktiviti Dunia Islam

Keupayaan perindustrian dan daya produktiviti Dunia Islam adalah besar lantaran wujudnya elemen yang diperlukan dalam pengeluaran. Antara elemen tersebut ialah:

1.    Elemen manusia dan kuantiti tenaga kerja yang banyak.

2.    Bahan mentah yang banyak, belum diterokai dan pelbagai jenis dalam rizab yang besar.

3.    Modal yang banyak di kebanyakan negara yang mampu melaksanakannya.

Kalau Dunia Islam mampu tersedar daripada ‘lena’, menjangkaui sempadan yang diwujudkan antara negara dan wilayah juga saling lengkap-melengkapi dalam ekonomi, ia akan menjadi kuasa ekonomi yang besar dan berpengaruh di arena antarabangsa. Ia juga dapat mengembalikan kesejahteraan, kemuliaan, nilai ketamadunan dan kepimpinannya.

Halangan Perindustrian di Dunia Islam

1.    Kekurangan teknikal perindustrian yang jelas, bahkan sukar memperolehi­nya. Ini menuntut keprihatinan dan pertukaran maklumat antara negara Islam dan penubuhan pusat kajian dan institusi pengajian teknikal.

2.    Tiada penubuhan syarikat gergasi Islam dalam pelbagai bi­dang bagi menyerlahkan kesempurnaan Islam dan mem­be­rangsang­kan pasarannya.

3.    Peri pentingnya keprihatinan terhadap perancangan dan per­laksanaan polisi perindustrian dan pemasaran di peringkat domestik dan global.

4.    Saiz modal dalam industri yang kecil. Ia mempengaruhi saiz perindustrian berat.

5.    Pasaran Islam hampir langsung tidak disebut peranannya dalam memberangsangkan industri Islam di wilayah-wilayah­nya.

6.    Industri kebanyakannya berbentuk bengkel atau institusi, tidak berfungsi mengikut prinsip industri yang integral se­sama mereka sehingga dapat melakukan sesuatu yang bermakna seperti industri Eropah.

7.    Kebanyakan industri moden dan penting di wilayah Islam, modal, kepakaran dan peralatan disumbangkan oleh pihak asing yang melakukan komplot, dengki dan mengaut keun­tungannya. Sedangkan kerajaan tidak mempunyai peran­cangan untuk memanfaatkannya, mahupun me­mindah­kan kepakarannya kepada buruh tempatan.

8.    Negara Islam menghadapi masalah sempadan politik, sekatan kastam, perundangan dan undang-undang yang tidak tetap yang dikuatkuasakan oleh kerajaannya, tanpa menjaga kepentingan industri dan perdagangan.

9.    Keupayaan kepakaran pengurusan dan pengawasan yang diperlukan tidak mencukupi. Selain itu, centralisasi (pemusatan) yang berleluasa dalam perkara ini juga menghalang produktiviti dan meningkatkan jumlah masa, kerugian, penggunaan bahan mentah dan kos.

10.  Tidak memanfaatkan kemajuan teknologi dan sains yang begitu pantas.

11.  Tidak wujud keprihatinan kerajaan terhadap perindus­trian, juga proses integral antara universiti dan kolej (institusi pengajian tinggi) dengan kilang. Keprihatinan hanya tertumpu kepada propaganda.

12.  Korupsi di kalangan pengusaha industri, kecurian di kilang dan ketiadaan undang-undang yang mampu mencegah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *