Pendahuluan

 

Jangan ada yang menyangka kegemilangan mampu dijulang tanpa penat lelah. Kemuliaan berjaya dimiliki tanpa perjuangan. Kemenangan dapat diraih tanpa ada identiti, matlamat, objektif yang ingin dicapai dan usaha ke arah merealisasikannya. Semua ini memerlukan jihad yang panjang dan usaha yang berterusan. Jihad dalam syariat kita adalah fardhu dan ia menjadi kemestian.

“Saudara yang dikasihi, salah satu tuntutan jihad dalam Islam ialah

1.    Semangat kental yang merindui kegemilangan dan kemuliaan Islam.

2.    Keinginan yang membuak-buak untuk melihat kuasa Islam dan ketuanannya.

3.    Menangis hiba kerana kelemahan yang menimpa umat Islam dan kehinaan yang mereka alami.

4.    Dukacita meratapi fenomena yang tidak diredai Allah dan Nabi  Muhammad s.a.w.. Malahan jiwa seorang muslim yang beriman pasti tidak akan meredainya.

Sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis sahih:

Sesiapa yang tidak mengambil berat nasib umat Islam, dia bukan daripada kalangan mereka.

Hancur luluh hati ini hiba melihat keadaan ini. Itupun jika hati ini masih memiliki Islam dan iman.

Saudara yang dikasihi, salah satu tuntutan jihad di jalan Allah ialah anda terdorong untuk tekun berfikir mencari jalan penyelesaian lantaran masalah yang berpanjangan ini. Ia menuntut anda bersungguh-sungguh mencari jalan untuk membebaskan diri. Menghabiskan masa yang panjang untuk berfikir sedalam-dalamnya bagi mengkaji pelbagai cara dan meneliti pelbagai muslihat. Mungkin dengan ini anda akan temui jalan penyelesaian atau penyelamat buat umat ini. Bukankah niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya? Allah mengetahui mata yang khianat dan apa yang tersembunyi di dalam hati.

Saudara yang dikasihi, satu lagi tuntutan jihad ialah anda korbankan sebahagian masa anda, sebahagian harta anda dan sebahagian keperluan anda untuk kepentingan Islam dan umat Islam. Jika anda seorang pemimpin, anda memberi sumbangan sebagai seorang pemimpin. Jika anda seorang pengikut, anda menjadi pembantu kepada para pendakwah untuk setiap perkara yang baik. Kesemuanya Allah janjikan balasan yang baik. Allah Taala berfirman yang bermaksud:

مَا كَانَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُم مِّنَ الأَعْرَابِ أَن يَتَخَلَّفُواْ عَن رَّسُولِ اللّهِ وَلاَ يَرْغَبُواْ بِأَنفُسِهِمْ عَن نَّفْسِهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لاَ يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلاَ نَصَبٌ وَلاَ مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَطَؤُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلاَ يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلاً إِلاَّ كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (120) وَلاَ يُنفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلاَ كَبِيرَةً وَلاَ يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلاَّ كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ اللّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

“Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang A’rab(pen­duduk pedalaman) ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak meng­hiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak meng­hilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Taubah: 120-121)

Saudara yang dikasihi, satu lagi tuntutan jihad di jalan Allah ialah anda menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia melakukan kejahatan. Di samping itu anda perlu memberi nasihat kepada Allah, rasul-Nya, kitab-Nya, untuk para pemimpin dan umat Islam umumnya. Anda mengajak manusia supaya menyembah Allah dengan cara bijaksana dan nasihat yang baik. Manusia yang tidak nasihat-menasihati, mereka akan menjadi masyarakat yang dihina. Manusia yang mengabaikan usaha menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia melakukan kejahatan pasti akan ditewaskan.

šلُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.” (Al-Maidah: 78)

Saudara yang dikasihi, satu lagi tuntutan jihad di jalan Allah ialah anda menyingkir mereka yang membelakangkan agama. Anda memutuskan hubungan dengan orang yang memusuhi Allah dan rasul-Nya. Jangan ada sebarang hubungan di antara anda dan orang seperti ini. Jangan anda duduk bersama, makan bersama atau minum bersama mereka. Sebuah hadis menyebut:

“Kesilapan yang pertama berlaku pada Bani Israel ialah apabila seorang lelaki bertemu seorang lelaki lalu berkata: “Saudara, takutilah kemurkaan Allah dan tinggalkanlah apa yang sedang engkau lakukan kerana ia tidak halal dilakukan.” Namun pada keesokannya apabila dia bertemu sekali lagi, dia terus makan, minum dan duduk bersamanya walaupun orang itu masih melakukan apa yang dilarang. Apabila mereka melakukan perkara ini, Allah melaga-lagakan hati-hati mereka.”

Saudara yang dikasihi, satu lagi tuntutan jihad di jalan Allah ialah anda menjadi tentera Allah. Anda serahkan segala jiwa dan harta anda untuk Allah. Apabila kemuliaan Islam diancam, maruah Islam dicemar dan semboyan seruan untuk bangkit mengembalikan kegemilangan Islam telah dipalu, anda adalah orang pertama menyahutnya dan anda adalah orang pertama mara ke medan jihad.

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.” (Al-Taubah: 111)

Sebuah hadis menyebut:

“Orang yang mati dan tidak pernah berperang atau tidak pernah terdetik di hatinya untuk berperang dia mati di atas salah satu cabang nifaq.”
Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasaie.

Dengan itu, akan tercapailah apa yang dikehendaki Allah iaitu tersebarnya Islam hingga ke seluruh muka bumi.

Saudara yang dikasihi, salah satu tuntutan jihad ialah anda bekerja untuk menegakkan keadilan, memperbaiki kehidupan manusia, membantu orang yang dizalimi dan menyekat tindakan orang yang zalim walau apa sekali kedudukan dan kuasanya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Jihad yang paling afdhal ialah kata-kata yang benar di hadapan pemerintah atau penguasa yang kejam.”
(Riwayat Abu Daud dan diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dengan maksud yang sama).

Diriwayatkan daripada Jabir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: 7

“Penghulu para syuhada ialah Hamzah bin Abdil Muttalib dan juga lelaki yang bangkit di hadapan pemerintah yang kejam lalu dia menyuruh pemerintah ini (melakukan kebaikan) dan melarang (melakukan kejahatan) lalu dia dibunuh.”
Riwayat Ibnu Majah dengan sanad sahih.

Termasuk salah satu tuntutan jihad di jalan Allah juga ialah jika anda tidak mampu melakukan semua yang disebut di atas hendaklah anda menyayangi para mujahid dengan sepenuh hati dan anda berikan mereka nasihat setiap kali anda menemui mereka. Nescaya Allah akan berikan ganjaran kepada anda untuk itu dan Allah akan lepaskan tanggungjawab anda. Janganlah anda lakukan sebaliknya, nescaya Allah akan tutup hati anda dan Allah akan jatuhkan hukuman yang amat berat kepada anda.

لَّيْسَ عَلَى الضُّعَفَاء وَلاَ عَلَى الْمَرْضَى وَلاَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (91) وَلاَ عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لاَ أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّواْ وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلاَّ يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ (91) إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ وَهُمْ أَغْنِيَاء رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ الْخَوَالِفِ وَطَبَعَ اللّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لاَ يَعْلَمُونَ

“Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan se­di­kit­pun bagi menyalahkan orang-orang yang ber­usaha memper­baiki amalannya; dan Allah Maha Pengam­pun, lagi Maha Mengasihani. Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepada­mu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepa­da mereka, engkau ber­kata: Tidak ada padaku ken­de­ra­an yang hendak kuberikan untuk membawa kamu, mere­ka kembali sedang mata mereka mengalir­kan airmata yang bercu­curan, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu­pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). Sesungguhnya jalan (untuk menyalah­kan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mam­pu. Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).”Al-Taubah: 91-93)

Semua ini adalah beberapa peringkat dan tingkatan jihad di dalam Islam. Di manakah kedudukan umat Islam dalam semua peringkat ini?

Adakah mereka merasa sedih dengan apa yang berlaku kepada umat Islam dan merasa amat-amat dukacita? Hanya Allah sahaja yang tahu betapa seseorang daripada mereka merasa­kan apa yang berlaku itu begitu menghiris hati mereka. Perasaan mereka tersentuh sehingga ke lubuk hati. Hinggakan kerapkali perasaan ini membantutkan keinginan mereka untuk bermesra dengan keluarga dan sanak saudara. Apatah lagi untuk berseronok dengan segala kenikmatan dan keindahan dunia.

Apakah mereka ada memikirkan sesuatu untuk mencari jalan keluar? Hanya Allah sahaja yang tahu betapa segala idea, perancangan dan urusan, semuanya tertumpu kepada soal ini. Masalah ini menguasai segala fikiran dan hati mereka.

Apakah mereka mengorbankan masa dan harta untuk tujuan ini? Memadailah jika anda melawat mereka yang ikhlas terhadap umatnya, anda pasti dapat lihat bagaimana mata mereka cengkung kerana berjaga malam. Muka mereka kelihatan pucat kerana keletihan. Tubuh mereka kurus kerana kelesuan dan kepenatan. Namun, tetap mempamerkan kesegaran iman dan kekuatan akidah mereka. Mereka adalah para pemuda yang menghabiskan masa sehingga larut malam bertungkus lumus di pejabat atau tekun di bangku kerja, sedangkan rakan sebaya mereka sedang berseronok, berhibur dan bergembira. Sedikitnya mata yang berjaga untuk mata yang sedang tidur. Namun mereka hanya mengharapkan ganjaran Allah dan kami tidak mengharapkan sebarang pujian.

يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا قُل لَّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلَامَكُم بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلْإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

“Bahkan Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman.” (Al-Hujurat: 17)

Jika anda bertanya tentang harta yang digunakan untuk menampung perbelanjaan dakwah mereka, jawapannya tidak lain daripada harta mereka yang sedikit. Walaupun sedikit tetapi mereka sumbangkan dengan murah hati, reda, senang dan tenang. Mereka akan memuji Allah jika pengorbanan ini memerlukan mereka mengorbankan kesenangan hidup mereka hingga ke tahap mereka terpaksa mengurangkan belanja keperluan hidup mereka dan kemudian mereka sumbangkan simpanan tersebut untuk tujuan dakwah.

وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan (ingatlah), sesiapa yang dijaga serta terpelihara di­ri­­nya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)

Alangkah bahagianya jika Allah menerima segala pengor­banan kita itu. Semua itu daripada Allah dan kepada Allah ia kembali.

Akhirnya kami memohon taufiq daripada Allah untuk semua. Amin. Dialah sebaik-baik pelindung dan pembantu.”

Nota: Ini merupakan salah satu petikan himpunan risalah Imam Hasan al-Banna yang bertajuk “Jihad Adalah Kebanggaan Kita.” Ia telah disiarkan dalam akhbar Ikhwan Muslimin. Bil: 24. Tarikh: 9 Rejab 1353. Kecuali perenggan pertama dalam pendahuluan buku ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *