Pakatan Salib-Mongol: Pakatan Penjenayah

Ketika tentera Salib lemah, muncul kuasa yang menakut­kan di timur negara Islam iaitu Mongol. Mereka membinasakan negara yang mereka takluki, merampas dan meninggalkannya musnah. Mereka memporakperandakan penduduknya, membunuh dan menceroboh kehormatan mereka.

Kejatuhan Baghdad Tahun 656H

Tentera Salib berjaya mengadakan pakatan dengan Mongol. Salib menghasut Mongol untuk membinasakan bumi Islam. Dengan itu, Mongol bertindak menyerang kampung halaman Islam dan memusnahkannya, hinggalah mereka sampai ke Baghdad. Di situ, mereka telah membunuh Khalifah al-Musta’shim dan semua lalu di hadapan mata mereka. Mereka menceroboh maruah dan memperkosa.

Masjid dan Jami’ terhenti fungsinya. Para khatib, imam dan penghafal al-Quran pula dibunuh. Seorang lelaki akan dipanggil bersama anak-anaknya ke perkuburan, lalu disembelih seumpama kambing. Sementara anak-anak perempuan mereka pilih untuk dijadikan tawanan.

Keadaan ini berterusan selama 40 hari. Dalam tempoh tersebut Baghdad bersama bumbung bangunannya terus roboh binasa, kecuali timbunan bukit mayat dan korban di jalan-jalan. Para sejarawan menganggarkan bilangan yang terbunuh kira-kira sejuta orang. Peristiwa ini terjadi pada 656H.

Bukti Pakatan Salib dan Mongol

Bukti pakatan Kristian dengan Mongol terserlah dalam beberapa perkara, antaranya:

1.    Mongol tidak menyerang koloni Salib di Syam. Contohnya Anthokia, Yafa dan Acca.

2.    Pihak Salib menggunakan wanita untuk menghasut Mongol. Ini jelas apabila diketahui, Genghis Khan berkahwin dengan seorang gadis Kristian daripada keluarga Tartar yang menganut Kristian. Anak ketiga beliau yang juga merupakan penggantinya, Ogtame/Ogotai turut berkahwin dengan seorang gadis Kristian.

Sementara anak kedua Genghis Khan, Gogthai adalah antara musuh Islam paling ketat.

Hulagu pula berkahwin dengan seorang gadis Kristian. Isterinya memainkan peranan utama menyebabkan beliau bertindak jahat terhadap Baghdad dan Syam. Anak Hulagu, Tequdar membesar dalam agama Kristian sebelum dia menganut Islam. Akibat keislamannya itu beliau telah dibunuh di tangan anak saudaranya, Argon yang amat memusuhi Islam. Demikian juga beberapa orang Mongol di Georgia dan Armenia turut menganut Kristian melalui cara pujuk rayu wanita.

Orang Islam menyedari bahaya Mongol, lantas mereka segera mempertahankan kehormatan Islam di bawah kepimpinan Saifuddin Quthuz. Mereka berjaya menewaskan Mongol di Ain Jalut pada tahun 658H.

Peranan Pihak Salib Memerangi Dunia Islam Dan Kesannya Kini

Kelemahan orang Islam merangsang pihak musuh untuk berfikir memerangi dan mencerobohi mereka. Antara pemimpin yang mula-mula menganjurkan perang ialah:

1.    Pope Sylvester II (1002)

Orang pertama mengajak untuk melancarkan perang Salib. Namun seruan beliau tidak mendapat sambutan.

2.    Pope Gregorius/Gregory VII (1075)

Orthodoks di Byzanthin yang berpusat di Konstantinople telah berpecah kepada Katholik yang berpusat di Roma yang tunduk kepada Pope.

Penduduk Byzanthin cuba mara memerangi orang Islam di timur ketika Roma cuba mara di Andalus.

Pope Gregorius VII ingin menghimpunkan dunia Kristian di sekelilingnya. Maka beliau mengajak untuk menyatukan serangan ke atas orang Islam di Andalus. Lalu bala tentera Eropah berhimpun menyerang orang Islam Andalus. Namun Allah menyediakan Raja al-Murabithin di Maghribi, Yusuf bin Tasyfin untuk menghadapi mereka. Yusuf sendiri menyeberang sungai az-Ziqaq dan berjaya mengalahkan tentera Salib dalam perang az-Zallaqah pada tahun 479H.

3.    Pope Urban II (1095/489H)

Pope Urban II menganjurkan persidangan umum pendeta agama di Clermont pada tahun 489H. Ia dihadiri oleh 300 perwakilan. Sebelum penutup persidangan yang berlangsung selama 10 hari tersebut, Pope menyampaikan ucapannya dengan menerangkan objektif utama persidangan iaitu: “Seruan untuk perang Salib yang menyeluruh menentang orang Islam”. Beliau mengajak raja-raja untuk mengenepikan perselisihan sesama mereka dan menghala usaha untuk menguasai tanah orang Islam, dengan alasan membebaskan Baitul Maqdis. Beliau mempersembahkan salib keampunan kepada para hadirin, seraya mengumumkan beliau akan mengampunkan dosa dan kesalahan sesiapa yang menyertai perang ini. Beliau turut menyeru mereka yang pergi dalam perang tersebut untuk membawa simbol salib di dadanya. Beliau meminta mereka bersedia untuk berangkat pada Hari Raya Maryam, 15 Ogos 1096. Pope mula bergerak dari satu tempat ke satu tempat di kota-kota Eropah bagi menganjur perang Salib ini. Beliau turut meminta para uskup (bishop) menjayakan kempen tersebut.

Objektif Perang Salib

1 .    Sebaik-baik cara pertahanan ialah menyerang.

Mereka merasa orang Islam menjadi ancaman terhadap agama mereka. Mereka melihat pembukaan Islam di Andalus dan Eropah hingga ke selatan Itali dan Perancis, jadi mereka merasakan diancam bahaya. Dengan itu, bermulalah idea untuk melancarkan serangan balas ke atas orang Islam bagi meng­henti­kan bala tentera yang datang melanda ini.

2.    Mewujudkan tembok kejiwaan dan psikologi yang menye­kat manusia daripada memeluk agama Islam.

Ini kerana, peperangan akan melahirkan dendam kesumat dan sakit hati untuk tempoh yang lama. Ini akan menghalang penerimaan penduduk Eropah dan dunia Kristian terhadap Islam selepas itu.

3.    Mendirikan koloni Salib di tengah dunia Islam.

Koloni ini meluas dan membesar sehingga ia menghapus­kan orang Islam. Ia juga akan menyibukkan orang Islam dengan peperangan yang berterusan. Oleh itu, mereka tidak terfikir untuk memerangi negara Kristian lagi.

Dakwaan Pulangan Ekonomi

(Sebagaimana yang terdapat di dalam buku sejarah di sekolah) setengah pihak mendakwa, sebab peperangan ini, sifat asasinya adalah kerana ketamakan Eropah untuk mendapatkan hasil kekayaan negara orang Islam. Kononnya, negara tersebut melimpahkan “susu dan madu”. Ini bertujuan memadamkan fakta sebenar, peperangan tersebut bahawa ia bersifat keaga­maan dan perang kudus yang bertujuan menghapuskan Islam.

Realiti Memperkuatkan Objektif

Pertumpahan darah orang Islam di Baitul Maqdis. Sejarah mencatatkan serangan Salib ke atas Baitul Maqdis pada 2 Ramadhan 493H bersamaan 1099. Mereka telah menceroboh kehormatan Masjid al-Aqsa dan mengalirkan sungai darah di dalam masjid tersebut. Sehinggakan sejarawan mereka menga­takan: “Kuda terbenam di dalam darah orang Islam sehingga ke paras dadanya”. Mereka telah membunuh 70 ribu orang Islam.

Kenyataan Penyingkap Fakta Sebenar

Sebahagian mereka (beliau salah seorang sejarawan masa kini) berterus terang menyatakan: “Pihak Salib kecewa untuk merampas Baitul Maqdis daripada tangan orang Islam bagi mendirikan negara Kristian di tengah dunia Islam. Perang Salib bukan bertujuan menyelamatkan kota al-Quds. Tetapi tujuaannya hanyalah untuk menghancurkan Islam”.

Fakta ini terdapat di dalam al-Quran

(وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). (al-Baqarah 2:120)

 وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian). (al-Baqarah 2:217)

Akhirnya, peperangan ini berterusan selama kira-kira dua kurun. Dalam tempoh ini, orang Islam mengharungi pepera­ngan sengit. Contohnya, di zaman ‘Imaduddin Zinki (541H), Nuruddin Zinki (569H), Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Quthuz, Babrus dan Qolawun. Perang ini hanya terhenti setelah kekalahan Salib yang teruk dalam serangannya yang ketujuh dan panglimanya, Louis IX ditawan pada 1254.

Perubahan Taktik Salib

Di hadapan Pope Celestine V terdapat dua idea baru untuk memerangi orang Islam:

1.    Ramon Lull (Ketua Uskup Toledo) mencadangkan untuk memerangi orang Islam dalam bentuk gerakan misi dakwah (missionary) melalui ilmu dan sekolah.

2.    Mengkristian dan mempergunakan bangsa Mongol untuk me­me­­rangi orang Islam. Mereka mencuba pelbagai cara seba­gai­mana disebut sebelum ini. Mereka mengambil masa yang lama untuk membuka jalan ke arah usaha ini. Namun usaha mereka gagal. Mongol telah menganut Islam dan pelan rancan­gan ini gagal setelah orang Islam mendapat kemenangan.

Kemenangan UmatIslam Di Bawah Pimpinan Muhammad al-Fatih

1.    Pihak Salib dikejutkan oleh serangan tentera Islam yang dipimpin oleh Muhammad al-Fatih dan pembukaan Constantinople. Pope hilang pertimbangannya sehinggakan dia mengadakan sembahyang kesyukuran selama tiga hari, apabila diberitahu tentang kewafatan Sultan Muhammad al-Fatih. Dia menganggap hari kematian Muhammad al-Fatih sebagai perayaan rasmi yang disambut meriah.

2     Penerimaan pelan rancangan Lull (Hanya tinggal pelan ini untuk menghadapi orang Islam): Intipatinya ialah memerangi orang Islam dalam bentuk gerakan misi dakyah melalui ilmu, sekolah dan mengadakan hubungan baik dengan sesetengah puak bagi menembusi baki dunia Islam menerusi mereka.

2     Puak Maroon di Lubnan: Hubungan yang baik dengan puak Maroon di Lubnan menjadi pintu masuk yang sesuai. Raja puak Maroon, Yuhana pernah menghantar anaknya, Sam‘an bersama angkatan bantuan tidak kurang daripada 25 ribu pejuang untuk menolong Louis IX pada tahun 1250 ketika beliau datang ke Acca.

Selepas itu, Louis IX berterus terang mengatakan: “Kami berkeyakinan bangsa ini yang dikenali melalui nama St. Maroon adalah sebahagian daripada bangsa Perancis. Negara Perancis berjanji melindungi mereka.” Peristiwa ini menghuraikan sebab campur tangan Perancis yang berterusan hingga kini di Lubnan bagi pihak Kristian, khususnya Maroon.

Berpegang Dengan Pesanan Louis IX

Beliau ditawan semasa serangan Salib di al-Manshurah. Beliau mengenali orang Islam dari dekat. Kata beliau:

“Tiada jalan menewaskan orang Islam dengan kekuatan perang. Pegangan agama mereka dengan Islam mendorong mereka melawan dan berjihad. Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan cara lain, iaitu menukar pemikiran Islam dan menjinakkan orang Islam melalui cara serangan pemikiran. Caranya ialah ilmuwan Eropah hendaklah melakukan kajian tentang tamadun Islam bagi mengambil senjata baru yang digunakan untuk menyerang pemikiran Islam.”