Rancangan Televisyen Bersiri Umar Berjaya Meningkatkan Kefahaman Terhadap Sirah

Abdullah bin Mas’ud berkata tentang Umar : “Islamnya Umar adalah suatu penaklukan, hijrahnya adalah kemenangan, kepemimpinannya adalah rahmat. Kamu melihat kami tidak dibenarkan untuk solat di Baitul Haram. Ketika Umar sudah masuk Islam, dia memerangi orang-orang Quraisy, sehingga mereka membiarkan kami solat di sana.”

Sebuah rancangan televisyen yang diterbitkan oleh produksi Arab Saudi, MBC dan QatarTV telah menimbulkan kontroversi kerana menggambarkan susuk tubuh Khalifah Kedua dalam sejarah peradaban Islam. Walaubagaimanapun, kontroversi yang ditimbulkan adalah setimpal kerana rancangan yang ditayangkan dalam bulan ramadhan 1433H (2012) itu berjaya memukau audiens di seluruh pelusuk dunia.

Skripnya ditulis oleh sasterawan dari Palestin, Dr Waleed Seif dan diarahkan oleh pengarah dari Syria, Hatem Ali. Kedua-duanya terkenal sebagai penerbit drama dan filem sejarah, namun siri ini benar-benar berjaya menimbulkan kesan di mata dunia.

Rancangan bersiri yang dikenali sebagai Omar Series ini telah memaparkan pelakon yang melakonkan watak ‘Umar al-Khattab dan juga sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain, yang telah diharamkan oleh pelbagai ulama’. Akibatnya, rancangan ini telah diharamkan di kebanyakan negara Arab, termasuk Mesir.

Lakonan mereka menakjubkan, para pelakonnya adalah gabungan pelakon-pelakon dari Syria, sebahagian dari Mesir dan negara-negara arab yang lain. Maher Ismail, yang melakonkan watak ‘Umar, telah melaksanakan tugas yang hebat kerana berjaya menyeimbangkan watak ‘Umar selaku watak yang memiliki sifat-sifat mulia di sebalik kenyataan bahawa dia merupakan musuh kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bercita-cita mahu memusnahkan ajaran Islam.

Perbelanjaan besar melibatkan puluhan juta ringgit dapat dilihat daripada awal lagi, apabila kredit permulaannya memaparkan montaj dengan teknik CGI yang canggih, memaparkan kawasan-kawasan yang terlibat di Timur Tengah sebelum memfokuskan ke Makkah dan Mesir.

Di dalam rancangan tersebut, Kaabah digambarkan dengan tepat sepertimana riwayat-riwayat, diliputi kain kiswah hitam yang tidak menutupinya sepenuhnya. Berhala-berhala yang digambarkan juga menepati keterangan daripada sumber-sumber pra-islam dan mitologi Arab. Berhala utama, Hubal, dihasilkan dengan baik dan dilengkapi oleh tangan emas sepertimana yang diriwayatkan. Menonton kredit permulaannya juga menggambarkan babak pertarungan perang yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana produksi terbitan negara Arab.

Terdapat dua ciri utama penerbitan rancangan ini yang menyebabkannya mencapai taraf tinggi – pertamanya ialah penggunaan Bahasa Arab Fushah, ia bukanlah sepertimana bahasa Arab baku zaman moden kerana setiap patah katanya kedengaran seperti hadith Nabi s.a.w. dan juga seperti potongan ayat-ayat al-Quran.

Keduanya ialah perhatian kepada perkara-perkara terperinci. Diriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khattab bertangan kidal, dan pelakonnya Maher Ismail sentiasa digambarkan memegang tongkatnya dengan tangan kiri, tidak seperti pelakon-pelakon yang lain. Rancangan itu juga berjaya menyebut nama kabilah-kabilah dan sub kabilah secara kasual dan bersahaja, namun sangat informatif.

Skripnya telah dinilai oleh pelbagai ulamak dan sejarahwan, agar dapat memaparkan kisah ini dengan cara yang paling tepat. Manakala penampilan baginda Nabi s.a.w. digambarkan dari sudut yang tidak memaparkan baginda, juga tiada naratif, namun penonton dapat mengagak apa yang dikatakan oleh baginda menerusi babak dan respon daripada para pelakon.

Permulaan siri ini berlaku secara perlahan, agar penonton dapat menghayati jalan ceritanya. Babak ‘Umar memeluk Islam digambarkan dalam episod kelapan, manakala babak hijah lebih kemudian lagi. Namun keseluruhan siri ini akan meliputi zaman pemerintahan beliau di akhir siri.

‘Umar adalah satu rancangan berkualiti tinggi. Ia menggabungkan elemen-elemen lakonan yang mantap, produksi bertaraf tinggi, dan skrip yang hebat. Kontroversi yang menyelubungi siri ini tidak akan dapat menutup kebaikan yang dibawa dari segi penghayatan sirah dan riwayat hidup manusia yang agung ini.

Hukum melakonkan watak sahabat dan menonton rancangan ‘Umar

Para ulamak berselisih pendapat tentang perkara ini, kebanyakannya mengharamkannya, namun antara panelis yang meneliti penghasilan rancangan ini ialah Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Sheikh Salman Al Odah, Dr. Abdul Wahab Al Terrery, Dr. Ali Al-Sallaby, Dr. Saad Matar Al-Otaibi, dan Dr. Akram Diya Al Omari.

Buat pertama kali dalam sejarah, sebuah produksi sunni telah memaparkan watak keempat-empat Khulafa ar-Rasyidun dalam rancangan terbitannya. Walaupun sahabat-sahabat Nabi s.a.w. pernah digambarkan di dalam filem, namun kebanyakannya adalah hasil produksi syi’ah.

Antara ulamak yang menentang penghasilan siri ini ialah Mufti Besar Arab Saudi, ulamak-ulamak al-Azhar di Mesir, mufti Dubai, menteri luar UAE, dan ramai lagi. Rancangan ini telah diharamkan di banyak negara-negara Arab, namun orang ramai boleh menontonnya menerusi saluran rasmi MBC di internet dan juga laman YouTube.

Rancangan yang masih sedang ditayangkan sewaktu penulisan ini, menyebabkan orang ramai masih menunggu dan sedang dinilai oleh ramai pihak bagi melihat kesannya. Mungkin pengecualian akan diberi berdasarkan kesan-kesan positif rancangan ini, namun dikhuatiri ia akan membuka jalan kepada penyalahgunaan dan kelonggaran dari segi hukum unutk produksi-produksi masa hadapan.