Tiga Strategi Menghapuskan Kekuatan Islam

Rupa bentuk perancangan yang terakhir telah berkembang. Daripada apa yang telah dijelaskan, fikiran musuh Islam kreatif mereka cipta perancangan jahat yang baru bagi menghancurkan Islam. Ia mengumpamakan Islam dengan gambaran seorang lelaki yang mereka ingin menghapuskannya. Mereka akan memenggal kepalanya, mencabut ruh dan memotong-motong sendinya. Ini untuk menjamin ia tidak hidup kembali sekali lagi.

Gambaran (perumpamaan) itu sebagaimana berikut:

1.    Menjatuhkan khilafah – memenggal kepala.

2.    Cubaan melemahkan dunia Islam dan membunuh jiwanya.

3.    Pembasmian fizikal – memotong sendi.

Pertama: Menjatuhkan Khilafah (Memenggal Kepala)

Kepentingan khilafah ditampilkan dalam beberapa aspek:

1.    Menyatukan orang Islam sebagai suatu kuasa besar.

Lawrence Brown berkata: “Apabila orang Islam bersatu dalam sebuah empayar Arab, ia mampu menjadi laknat dan baha­­­­­­­­ya kepada dunia. Ia juga mampu menjadi nikmat kepadanya. Sebaliknya, apabila mereka kekal berpecah belah, mereka akan terus tidak mempunyai sebarang kedudukan dan pengaruh.” ((Al-Islam wa al-Irsaliyyat (m.s 44, 48), Brown.)) Demikian musuh Islam memperakui kepentingan penyatuan umat Islam melalui khilafah.

2.    Melindungi orang Islam di timur dan di barat.

Kisah seorang wanita yang menjerit: “Wahai Mu’tashim”, lantas al-Mu’tashim melancarkan bala tentera sehingga beliau menyalakan api di tanah kelahiran putera Rom yang mencabul wanita tersebut. Kejadian ini menjadi saksi bahawa khilafah dan khalifah melindungi orang Islam di mana sahaja.

3.    Kemenangan sebenar tidak berlaku kecuali ketika wujud­nya khalifah.

Contohnya banyak, antaranya, perang Hiththin dan ‘Ain Jalut di bawah pimpinan dua orang khalifah iaitu Sholahuddin dan Quthuz.

4.    Khilafah tuntutan syarak yang dharuri.

Para sahabat mendahulukan pemilihan khalifah ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Seolah-olah mereka tidak suka melakukan mana-mana urusan sebelum ditentukan khalifah sekalipun urusan itu ialah pengkebumian Rasul s.a.w..

Kedua: Cubaan Melemahkan Dunia Islam Dan Mem­­­bunuh Jiwanya

Musuh Islam pada hari ini mengadakan perancangan yang membinasakan untuk meletakkan umat Islam di jalan menuju kerugian, kebinasaan dan keruntuhan.

1.    Percubaan melaga-laga orang Islam dan menyebarkan per­pe­cahan di kalangan mereka; sama ada antara individu, kum­pulan dan bangsa. Kita biarkan teks kata-kata mereka membicarakan perancangan yang terkutuk ini.

Brown berkata: ((Al-Islam wa al-Irsaliyyat (m.s 44, 48), Brown.))

“Apabila orang Islam bersatu dalam seb uah empayar Arab, ia mampu menjadi laknat dan bahaya kepada dunia. Ia juga mampu menjadi nikmat kepadanya. Sebaliknya, apabila mereka kekal berpecah belah, mereka akan terus tidak mempunyai sebarang kedudukan dan pengaruh.”

Paderi Calhoun Simon:

“Kesatuan Islam mengumpul cita-cita bangsa Negro. Ia dapat menolong mereka lepas daripada penguasaan Eropah. Oleh kerana itu, dakwah Kristian (dakyah kristian) merupakan agen penting dalam memecah kekuatan gerakan Islam ini. Ini kerana dakwah Kristian bekerja untuk menonjolkan orang Eropah dalam bentuk sinaran baru yang menarik. Ia juga bekerja merampas elemen kekuatan dan pemu­satan (sentralisasi) daripada gerakan Islam. ((Kitab at-Tabsyir wa al-Isti’mar (m.s. 32) )) Lantaran itu, kesatuan orang Islam mestilah dipecahkan. Usaha menyemai permusuhan di kalangan mereka juga wajib dilakukan.

2.         Percubaan menuduh Islam dengan pelbagai tuduhan yang palsu. Contohnya keganasan, agama yang berkembang dengan pedang, agama pembunuhan bukan agama keima­nan dan agama material bukan agama spritiual. Gullimen menye­but dalam bukunya, (Sejarah Perancis):

“Muhammad, iaitu pengasas agama orang Islam. Dia telah memerintah­kan para pengi­kutnya untuk menggantikan semua agama dengan agamanya. Alangkah besarnya perbezaan antara penganut ber­hala ini (orang Islam) berbanding penganut Nasrani! Bangsa Arab ini mewajibkan agama mereka melalui kekerasan. Mereka berkata kepada manusia: “Kamu peluk Islam atau kamu mati. Sedangkan pengikut al-Masih meng­gerak­kan jiwa mereka melalui kebajikan dan perbuatan baik.” ((Sejarah Perancis, m.s 8-81. Gullimen))

Tuduhan ini masih berlegar dalam benak mereka. Pada hari ini, tuduhan ini makin ditambah. Mereka gembira dengan tindakan melulu setengah orang Islam, supaya mereka dapat meningkatkan tuduhan yang lama terpendam.

3.    Menggunakan cara menyumbangkan bakti untuk mem­penga­ruhi orang Islam dan berusaha untuk menggugat aki­dah dan penghormatan terhadap Islam dan ajarannya menerusi itu. Contohnya, yayasan kebajikan, perubatan dan akademik. Ajaran Kristian mestilah mengiringi perkhidma­tan tersebut agar ia tidak pulang dengan tangan kosong.

4.    Percubaan memburukkan sejarah Islam: Contohnya, me­muji Khalid bin al-Walid dan memburukkan ‘Umar bin al-Khattab dengan tuduhan iri hati, menimbulkan keraguan tentang pemerintahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Othman dengan tuduhan mereka dipilih dengan cara tidak rasmi, pertikaian kuasa antara ‘Ali dan Mu‘awiyah dan membu­rukkan gambaran Khilafah ‘Othmaniah.

5.    Memburukkan sistem kehidupan Islam: Sistem dengan segala cabangnya; akhlak, ekonomi dan politik. Mereka menuduh sistem Islam bersifat kekurangan, ketinggalan, mundur, tidak bersistem dan kasar. Khususnya, yang berkaitan dengan rejam, potong anggota dan sebat. Mereka juga mendakwa undang-undang Islam tidak mempedulikan minoriti bukan Islam.

6.    Percubaan memburukkan warisan Islam: Apa yang dimak­sud­kan ialah seluruh bidang ilmu dan pengetahuan; peruba­tan, farmasi, kimia, fizik, falak, matematik, geometri, binaan dan semua sistem hidup. Mereka menyifatkan Warisan Islam sebagai musibah Islam [Kanyani / Yusuf Shakhat]

7.    Menghina ulama Islam.

8.    Menarik orang Islam ke universiti mereka untuk dikur­nia­kan sijil dan pengajian.

9.    Memisahkan ilmu agama daripada ilmu dunia dan mencipta pertentangan antara keduanya.

10.  Memesongkan kefahaman tawakal kepada Allah -redha dengan taqdir- dan jihad.

11.  Memerangi Bahasa Arab.

12.  Menggunakan senjata penyiaran: seperti televisyen, pemen­tasan, wayang, akhbar dan majalah.

13.  Mengeksploitasi wanita dan pergaulan bebas di sekolah, universiti dan pejabat kerajaan: Kata cendikiawan Yahudi dalam buku “Protokol cendikiawan Yahudi”:

“Kita wajib bekerja untuk meruntuhkan akhlak di semua tempat.”

Zwemer pula berkata:

“Kamu menyediakan generasi muda yang tidak kenal hubungan dengan Allah. Dengan itu, lahir generasi muda yang menepati kehendak penjajahan. Mereka tidak mementingkan urusan yang agung, bahkan hanya sukakan kerehatan dan bermalas-malas. Di dunia ini, mereka tidak mempunyai keinginan melainkan dalam perkara nafsu syahwat. Apabila mereka belajar, ia adalah kerana syahwat. Apabila mereka mengumpul harta, juga kerana syahwat. Dan apabila mereka menduduki posisi paling tinggi, ia juga kerana syahwat.”

Marx ditanya: Apakah alternatif untuk melalaikan manusia daripada akidah ketuhanan? Marx menjawab:

“Lalaikan mereka daripada akidah ketuhanan dengan pementasan drama.”

Soalan ini dikemukakan pada zaman yang belum ada wayang, televisyen, video dan rangkaian satelit yang menyiarkan budaya bebas. Sedangkan sekarang pintu kejahatan dibuka seluas-luasnya. Justeru, tugas para pendidik dan pendakwah sekarang lebih berat kecuali orang yang dirahmati Tuhannya.

Ketiga: Pembasmian Fizikal (Memotong Sendi)

Iaitu dengan cara penguasaan bukan Islam ke atas orang Islam dan hasutan untuk menyapu bersih orang Islam dalam pertelagahan dan peperangan. Untuk anda beberapa contoh:

1.    Orang Islam di bawah pemerintahan Kristian (atau agama lain): Sebagai contoh, Filipina, Ethopia, India, Eritrea, Thailand, Kashmir dan lain-lain.

2.    Orang Islam di bawah ancaman komunis yang telah runtuh dan Barat yang mewarisinya selepas itu: Bulgaria, China, Afghanistan, republik umat Islam di Russia, Somalia, Yugoslavia dan Albania.

3.    Orang Islam di bawah kuasa Zionis di Palestin: Shubra, Syatila, Dir Yasin dan wilayah-wilayah Arab.

4.    Orang Islam di bawah pemerintahan boneka: Turki, Mesir, Tunis, Syam, al-Jazirah, Pakistan, Bosnia-Herzagovina, Albania dan lain-lain.

5          Selain daripada pertelagahan, pertempuran dan pepe­rangan sesama Islam, peperangan minoriti Islam dengan umat lain dan usaha ‘pembersihan’ mereka di dunia berlaku pada setiap hari. Ia merupakan konspirasi seperti usaha membangkitkan ketaksuban, menceroboh kehormatan, meruntuh tempat suci, memprovokasi sentimen dan rasa kepartian, menyebarkan kezaliman, menanam kebencian dan menyokong penceroboh.

Blok Kerajaan Islam Dan Kedudukannya Di Arena Global

Blok ini bertindak menyatukan umat Islam dan manusia di bawah pengertian kemanusiaan yang menyeluruh, keadilan, ihsan dan persaudaraan kemanusiaan yang penyayang. Semua manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas bukan Arab melainkan dengan taqwa dan amal soleh. Begitu juga, tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Sementara itu, ruang lingkup negara Islam meluas berkembang sehingga ia menyingkir banyak kerajaan dan bangsa daripada sejarah. Ia melaksanakan peranannya di peringkat global dengan sebaik-baiknya semasa zaman Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin. Gelombangnya berterusan semasa pemerintahan Umayyah, ‘Abbasiyyah dan ‘Othmaniyyah. Kerajaan Islam kekal sebagai negara terbesar di dunia selama kira-kira 13 kurun.

Umat Islam memerintah dengan adil dan saksama, tanpa ketaksuban. Kerana agama mereka amat bencikan ketaksuban.

Bukan dari kalangan kami orang yang mengajak kepada ketaksuban.

Urusan (mereka) dilakukan secara syura.

(وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ(٣٨

Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. (asy-Syura: 38)

Begitu juga, tiada kepatuhan kepada makhluk dalam perkara yang menjadi maksiat kepada Pencipta.

Kesejahteraan, keamanan, kasih-sayang dan keluhuran berkibar menaungi umat. Tiada perhambaan dan penghinaan. Semua menikmati kemerdekaan. ‘Umar al-Khoththob berkata demikian kepada ‘Amru bin al-‘Ash, pegawai di Mesir. -Anak beliau (‘Amru) telah memukul seorang rakyat berbangsa Mesir- seraya berbangga dengan nenek moyangnya dengan katanya: Ambil (penangan) ini! Aku anak orang-orang mulia. Maka, ‘Umar mengenakan qishosh kepadanya seraya berkata: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu mereka melahirkan mereka merdeka?!”

Fenomena ini berterusan hinggalah orang Islam meninggal­kan landasan hidup dan syariat mereka. Mereka bertukar dari­pada keadilan kepada hawa nafsu, persaudaraan kepada per­mu­suhan, syura kepada diktator, merdeka kepada perham­baan, keluhuran kepada kekejian, amal soleh kepada tindakan buruk dan daripada usaha produktif kepada banyak mulut. Akhirnya, kegagalan, pelucutan daripada kepimpinan bangsa dan pengunduran daripada arena kehidupan dan kemajuan.

Kesannya, kerugian adalah besar. Ia tidak terbatas kepada Arab sahaja, atau orang Islam sahaja, bahkan mencakupi seluruh kemanusiaan. Sejarah tidak pernah menyaksikan kerugian yang lebih dahsyat dan menyeluruh sepertinya. Ini kerana, dunia kehilangan mesej para Nabi, penyampai kepada petunjuk langit dan pemerintahan adil yang rabbani.

Bangsa Eropah menguasai kepimpinan. Di atas runtuhan negara Islam, mereka mengasaskan negara yang luas dan blok yang saling berjauhan sempadannya. Pertukaran besar ini mempengaruhi dan memberi kesan kepada kepimpinan bangsa dan dunia dari aspek agama, akhlak, politik, kehidupan umum dan kesudahan kemanusiaan.

Bagaimanakah keadaan yang akan berlaku, jika Dunia Islam pada hari ini bangkit daripada jatuh tersungkur, sedar dari­­pada lena dan kembali memacu arah kehidupan sekali lagi?

Adakah kuasa yang berdendam dan jahat akan membenar­kan petunjuk Islam kembali kepada umat? Adakah mereka akan membenarkan kebenaran Islam muncul di sesuatu negara? Atau mereka akan membakar setiap hidayah dan membinasakan setiap negara agar cahaya Islam tidak muncul kembali? Ini kita akan lihat dalam perbincangan yang seterusnya.

Kesejagatan Dakwah Dan Umat Islam

Pada masa dahulu, wahyu Ilahi memilih suatu kawasan bumi untuk ia turun; sebagaimana hujan turun di suatu tempat dan tidak di tempat lain, kerana keperluan manusia kepadanya. Saranan panduan Ilahi dan penyembuh rabbani sebelum ini hanya datang untuk merawat penyakit dan malapetaka di sesuatu kawasan yang tersebar wabak di situ. Tetapi perutusan Muhammad adalah anjakan baru yang berlaku untuk seluruh dunia, juga merupakan perubahan arus kehidupan ruhani di muka bumi. Ini kerana risalah terakhir tersebut datang sebagai penyelamat kepada semua manusia. Ia juga berperanan sebagai terapi bagi setiap bangsa, penyakit dan wabak. Selain itu, ia juga sentiasa mengikut perjalanan masa dan bersama sepanjang per­kembangan kehidupan. Apabila suatu generasi berakhir, generasi seterusnya termasuk dalam seruannya. Mereka dipertanggung­jawabkan untuk berjalan mengikut landasannya dan dituntut memikul dan menyeru kepadanya.

Dalil Kesejagatan Risalah Dalam Al-Quran

Kesejagatan dakwah dan risalah bukannya dakwaan yang direka-reka oleh orang Islam atau diperhias oleh para sejarawan. Ia adalah panduan al-Quran dan arahan rabbani. Rasulullah tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan­nya. Begitu juga orang Islam, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali memikul dan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab­nya.

Allah Taala berfirman:

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (٢٨

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba`: 28)

(إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ (٢٧) لِمَن شَاءَ مِنكُمْ أَن يَسْتَقِيمَ (٢٨

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. (at-Takwir: 27-28)

(تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا (١

Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (al-Furqan: 1)

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ 21:107)

(مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـٰكِن رَّسُولَ اللَّـهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا (٤٠

Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Ahzab 33:40)

Penutup kenabian menjadi akuan kepada kesejagatan ini. Lima benua tidak akan didatangi oleh tetamu dari langit hingga berlakunya Kiamat. Mana-mana rasul daripada Allah tidak akan diutuskan lagi. Al-Quran sahaja satu-satunya yang akan kekal men­jadi suara langit di kalangan manusia hingga berlakunya Kiamat.

Kesejagatan Dakwah Dalam Pengajarannya

Risalah Islam membangunkan kefahaman kesejagatan berlandaskan agama yang satu sejak azali dan selama-lamanya. Para nabi merupakan saudara dalam memperkenalkan Allah, mengemukakan dalil dan memimpin manusia kepada-Nya. Al-Quran dalam konteks ayatnya yang kekal menghimpunkan ajaran yang berselerakan daripada lidah para nabi. Islam mengfardhukan keimanan dengan semua nabi dan pengiktira­fan kepada kitab dan risalah mereka.

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٦

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.  (al-Baqarah 2:136)

Perkara normal untuk Muhammad s.a.w mengajak dunia kepada risalahnya sehingga Baginda menyampaikan dakwah Tuhannya dan menunaikan amanah yang dipertanggungjawab­kan kepadanya. Baginda memulakan seruan kepada kaumnya dan diikuti dengan bangsa Arab, kemudian mengutusi (perutusan) kepada Maharaja Rom, Raja Parsi, pemerintah Mesir, Najasyi Habsyah dan raja-raja yang bertebaran sekitar Semenanjung Tanah Arab. Baginda mengajak mereka kepada Islam, mentauhidkan Allah dan meninggalkan khurafat dan kebatilan yang mereka anuti.

الر ۚ كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿١﴾ اللَّـهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَوَيْلٌ لِّلْكَافِرِينَ مِنْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (٢) ا

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (Ibrahim 14:1-2)

Negara Islam dan Negara Bukan Islam Menurut Fiqh

Para ulama membahagikan dunia kepada beberapa negara berdasarkan persepsi Islam dan era zaman mereka. Mereka juga membahagikannya berdasarkan kepentingan agama dan ke­du­niaan umat Islam. Pembahagian tersebut sebagaimana berikut:

1.   Dar al-Islam (Negara Islam):

Ia merupakan setiap kawasan yang didiami oleh orang Islam dan hukum Islam jelas dilaksanakan.

Ulama Syafie berkata:

  • Setiap negeri yang jelas terlaksana hukum Islam, seperti pengharaman zina dan mencuri. Ia didiami oleh orang Islam, sekalipun bersama mereka turut terdapat ahli kitab atau ahli zimmi;
  • ataupun setiap negeri yang dibuka oleh umat Islam dan mereka bersetuju mengekalkannya di bawah pengurusan orang kafir;
  • ataupun setiap negeri yang pernah didiami umat Islam kemudian mereka diusir oleh orang kafir dari negeri itu. ((Hasyiah Bujairimi (4/220) dan maksud yang difahami daripada Nihayat al-Muhtaj (8/81) hingga halaman selepasnya.))

Daripada huraian di atas, ulama Syafie  berpendapat, Dar al-Islam ialah setiap negara yang didiami oleh umat Islam, mereka mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan meng­halalkan apa yang dihalalkan-Nya. Mereka juga turut meng­golongkan ke dalam Dar al-Islam, mana-mana bumi yang ditak­luk oleh umat Islam; dahulu mahupun pada zaman moden, sekali­pun mereka telah keluar daripada bumi tersebut, ia tetap kekal sebagai Dar al-Islam.

Bagaimanapun, Abu Hanifah r.h.m cenderung kepada definisi lain yang lebih luas skopnya. Beliau berkata:

“Dar al-Islam dan Dar al-Kufr (Negara Kafir) dikaitkan kepada Islam atau kufur berdasarkan terserlahnya Islam dan keamanan, ataupun kufur dan ketakutan di negara tersebut. Islam atau kufur ter­ser­lah berdasarkan terserlahnya hukum hakamnya; iaitu ke­amanan dan keadilan di Dar al-Islam, sebaliknya ketakutan dan kezaliman di Dar al-Kufr”.

Perspektif pendapat Abu Hanifah ini ialah, maksud sebenar sesuatu negara dikaitkan dengan Islam atau kufur bukanlah dilihat pada zat Islam dan kufur, tetapi yang dimak­sudkan ialah keamanan dan ketakutan. Ertinya: Jika umat Islam memiliki keamanan di sesuatu negara secara mutlak, maka ia adalah Dar Islam. Sekiranya keamanan dimiliki oleh non-muslim secara mutlak sedangkan orang Islam dalam ketakutan secara mutlak, maka ia adalah Dar Kufr. Oleh itu, hukum bagi beliau adalah di atas dasar keamanan dan ketakutan, bukan Islam dan kufur. Mengambil kira keamanan dan ketakutan adalah lebih utama. ((Bada`i’ as-Shona`i’ (7/13-131), Ibnu ‘Abidin (3/253) dan Mausu’ah al-Fiqh, Kuwait (20/202,203).))

Dengan ini, Abu Hanifah melihat kepada perlaksanaan bukan kepada kepercayaan, kerana ia di dalam hati. Begitu juga, beliau tidak melihat kepada kata-kata, kerana kata-kata tanpa pengamalan merupakan musibah, sifat nifaq dan sia-sia.

2.   Dar al-Harb (Negara Perang):

Orang Islam menggunakan nama Dar al-Harb dengan maksud: Negara yang memerangi orang beriman, iaitu “negara Islam”, dan wujud permusuhan antara negara tersebut dengan orang Islam. Ia juga mahu menghapuskan orang Islam, melakukan persiapan untuk memerangi mereka, menghasut agar menentang mereka, mengisytiharkan perang dan menyerang kampung halaman orang Islam. Atas dasar inilah permusuhan antara orang Islam dan kafir pada masa lampau cukup hebat. Oleh kerana itu, definisi bagi Dar al-Harb pada masa dahulu didatangkan selari dengan negara perang pada zaman mereka.

Sedangkan pada hari ini, definisi Dar al-Harb diketahui umum, iaitu negara yang mengisytiharkan perang ke atas orang Islam atau satu wilayah daripada wilayah mereka dengan tujuan menghapus, menceroboh dan permusuhan. Sementara negara yang tidak mengisytiharkan perang ke atas muslimin, ia tidak dikira Dar al-Harb, sebaliknya digolongkan sebagai Dar ‘Ahd (Negara Perjanjian) atau Dar Shulh (Negara Perdamaian) dan sebagainya sebagaimana akan dibicarakan nanti.

Harta Orang Kafir Harbi (Yang Diperangi)

Sekumpulan orang yang mengikut hawa nafsu, mengaku ber­agama Islam telah terjebak melakukan kerja jahil dengan meng­­­halalkan harta non-muslim. Mereka mendakwa non-muslim sebagai kafir harbi dan negara mereka sebagai negara harb (perang). Mereka mengheret umat Islam kepada banyak tohmahan, prejudis dan tuduhan sebagai bangsa liar dan khianat. Elok kita terangkan pandangan ulama tentang persoalan ini.

Para ulama berkata: Apabila seorang muslim memasuki Dar al-Harb yang mengisytiharkan perang terhadap Islam; dia memasuki negara tersebut melalui perlindungan keamanan. Kemudian dia mengambil harta seorang kafir harbi di negara tersebut untuk berurusan dalam perdagangan, wadi‘ah (deposit), belian atau jualan secara hutang, atau qiradh (pelaburan), maka nilai harta yang ditanggungnya itu wajib dilangsaikan kepada kafir harbi tersebut mengikut tuntutan aqad (kontrak).

Apabila kafir harbi tersebut keluar (daripada negaranya) ke negara Islam dengan memperolehi perlindungan keamanan, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman ke atas muslim tadi agar dia melunaskan kewangan tersebut menggunakan hartanya. Iaitu sebagaimana dia menjatuhkan hukuman bagi orang muslim yang berada di Dar al-Islam.

Ini kerana hukum hakam ke atas muslim tetap berjalan di mana sahaja dia berada. Kita tidak menggugurkan hak kewajipan kerana berada di sesuatu tempat, sebagaimana kewajipan solat tidak gugur kerana berada di Dar al-Harb. Hukum ini dikenakan jika pemilik harta tersebut seorang kafir harbi dan negaranya adalah negara harb (perang) ((Lihat berkenaannya di dalam: al-Umm oleh as-Syafie  (4/288), Kasysyaf al-Qina’ (3/109), Mughni al-Muhtaj (4/230).)). Apa pula pandangan kita jika negara tersebut Dar Aman atau Dar ‘Ahd ataupun wujud antara umat Islam dan negara tersebut perjanjian, pertukaran wakil diplomatik, para duta, hubungan perdagangan dan import, transaksi kewangan, bank dan lain-lain. Bukankah (sewenang-wenang menghalalkan harta non-muslim secara tidak betul) merupakan suatu yang tidak berperaturan?!

Ya, hukum asal harta kafir harbi adalah harus (diambil). Tetapi ijma’ para ulama fiqh, ia haram (diambil) dan kehormatan harta mereka tetap dihormati dan dipelihara dalam beberapa situasi, antaranya:

1.    Apabila seorang muslim memasuki Dar al-Harb secara aman atau dia menjadi tawanan. Manakala orang kafir tersebut memberi kepercayaan berkaitan jiwa dan harta kepadanya. Maka tidak halal dia mengkhianati mereka. Lantaran dia telah memberi jaminan kepada mereka tentang dirinya. Ini kerana perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan. Walhal, pengkhiana­tan tidak dibenarkan dalam Islam.

Jika dia mencuri atau merampas sesuatu daripada mereka (kafir harbi), ia wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya datang ke Dar al-Islam, ia wajib dipulangkan kepada mereka. Jika mereka tidak datang, dia hendaklah mengutuskannya kepada mereka. Ini kerana dia mengambilnya secara haram, oleh itu dia wajib memulangkannya, sama seperti jika dia mengambil harta orang Islam sendiri. ((Lihat Bada`i’ as-Shona`i’ (7/133), al-Khursyi (2/116), Mughni al-Muhtaj (4/239) dan al-Mughni oleh Ibnu Qudamah (8/458).))

2.         Apabila kafir harbi yang berada di Dar al-Harb memeluk Islam, darahnya terpelihara, harta dan anak kecilnya terkecuali daripada dijadikan tawanan perang. Hartanya tidak boleh diambil walau di mana sahaja ia berada atau dijumpai ((Al-Mughni (8/94,428), Kasysyaf al-Qina’ (3/58) dan Mughni al-Muhtaj (4/226).)). Perjanjian antarabangsa yang mengatur peraturan ini telah wujud sekarang.

3.   Dar al-‘Ahd (Negara Perjanjian):

Maksud al-‘Ahd ialah keamanan, zimmah, pemeliharaan dan penjagaan kehormatan. Setiap perjanjian sesama manusia adalah ‘ahd. Dar al-‘Ahd dalam Islam pula ialah setiap negara iaitu penduduk dan pemerintahnya berdamai dengan orang Islam dengan persetujuan menghentikan persengketaan, mewujudkan perdamaian atau tidak menceroboh. Sama ada dengan tukaran yang dibayar kepada muslimin ataupun tanpa tukaran.

Apabila ketua pemerintah Islam melihat mengadakan perdamaian dengan Dar al-Harb mempunyai kepentingan bagi umat Islam, perdamaian tersebut diharuskan. Allah berfirman:

﴾وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada per­da­maian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. (al-Anfal: 61)

Rasulullah s.a.w juga mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Mekah semasa al-Hudaibiyah. Permuafa­katan yang berlaku antara orang Islam hari ini dengan negara non-muslim, kecuali Israel, merupakan perjanjian (‘Ahd) dan persetujuan keamanan.

Keamanan Bagi Warga Dar al-‘Ahd:

Ketua pemerintah Islam bertanggungjawab menghalang orang Islam dan zimmi daripada menyakiti dan mengganggu warga Dar al-‘Ahd kerana mereka memperolehi perlindungan keselamatan jiwa dan harta mereka melalui perjanjian damai. Oleh itu, tidak dibenarkan menculik, meragut, menceroboh, menunggu peluang untuk bertindak jahat atau membunuh mereka dengan apa jua alasan. Tindakan tersebut merupakan satu pengkhianatan dan angkara keji terhadappihak yang berdamai. Ia tidak harus dilakukan oleh muslim dalam apa keadaan dan situasi sekalipun. Termasuk dalam tindakan (yang dilarang) ini ialah merampas kapal terbang dan lain-lain lagi.

Bagaimana pula pandangan terhadap orang yang mem­bunuh ahli zimmah atau ahli kitab di kampung halaman umat Islam dengan dakwaan mereka mempunyai kesalahan?! Sekira­nya benar terdapat kesalahan, di sana ada undang-undang yang wajib dihakimi oleh semua pihak supaya tidak berlaku perkara buruk atau kekacauan dan seterusnya dikaitkan dengan Islam dan orang Islam, padahal mereka tiada apa-apa kaitan dengannya.

Meskipun begitu, terdapat beberapa pendapat berkenaan syarat perjanjian damai bagi setengah ulama. Ia berdasarkan perbezaan zaman, masa dan kedudukan pihak yang menang. Sementara hari ini, orang Islam mesti meneliti segala perkara dengan kefahaman dan pandangan yang jelas supaya mereka tidak terdedah kepada kebencian, kritikan dan penghinaan.

4.   Dar al-Baghy (Negara Pemberontak)

Al-Baghy asalnya bererti zalim dan melampaui had melakukan kerosakan. “Lelaki melakukan baghy” iaitu lelaki tersebut bersikap sombong, menceroboh dan menyimpang daripada kebenaran. “Kumpulan yang baghiyah” ialah kumpulan yang zalim dan tidak mentaati pemerintah yang adil. Contohnya, sabda Rasul s.a.w kepada ‘Ammar bin Yasir r.a:

“Kasihan ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh kumpulan yang baghiyah (memberontak)”.

Pengertian syarak untuk al-baghy ialah: Penentang dan orang yang tidak mentaati pemerintah yang adil. Mereka enggan menunaikan kewajipan seperti zakat, cukai tanah dan lain-lain.

Dar al-Baghy dari segi istilah ialah: Sebahagian daripada negara Islam yang dikuasai oleh sekumpulan orang Islam. Namun mereka menentang pemerintah yang sah berdasarkan hujah yang mereka takwilkan lalu menjadi alasan kepada penentangan mereka. Mereka bertahan dan berkubu di bumi yang mereka kuasai. Mereka melantik pemerintah dari kalangan mereka. Selain itu, mereka juga memiliki ketenteraan dan kekebalan (pertahanan).

Pada hari ini, Dar al-Baghy menyamai revolusi tentera yang berlaku kini, rampasan kuasa dan perlantikan diri mereka sendiri sebagai pemerintah tanpa pilihanraya, bai‘ah ataupun kerelaan umat Islam. Umat ‘disalai’ api kezaliman mereka. Biasanya mereka tidak berkelayakan untuk memerintah dan tidak tahu urusan rakyat. Dengan itu, umat tersungkur di bawah genggaman tangan dan injakan kaki mereka. Umat hilang kekuatan dan musnah.

Bagi para pemberontak ini, terdapat hukum hakam yang boleh dirujuk kepada buku-buku fiqh ((Lihat Fath al-Qadir (4/408), Bada`i’ as-Shona`i’ (7/140), ad-Durr al-Mukhtar (3/338) dan al-Mughni (8/107).)) .

5.   Dar al-Bid’ah (Negara Bid‘ah)

Manusia pada zaman moden kenal dengan negara-negara umat Islam yang tidak berhukum dengan Islam secara sempurna. Sebaliknya, ia menjalankan undang-undang wadh‘i (undang-undang buatan manusia), ataupun undang-undang tempelan, ataupun sistem pemerintahan tentera, ataupun bukan tentera yang memerintah mengikut hawa nafsunya di Dar al-Bid‘ah.

Dar al-Bid‘ah ialah negara yang telah hilang hukum sunnah di dalam negara tersebut, sebaliknya muncul di dalamnya hukum bid‘ah dan hawa nafsu yang wajib ditentang.

6.   Ad-Dar al-Maslubah (Negara Yang Dirampas)

Demikian mereka namakan negara yang pernah berada di tangan orang Islam dan memerintah dengan Islam, kemudian mereka lemah dan kekuatan mereka mula rapuh, lantas orang kafir dan tentera non-muslim mengalahkannya. Dengan itu, mereka menamakan negara tersebut dengan nama ad-Dar al-Maslubah. Para ulama mewajibkan jihad untuk mengembalikan­nya. Sebagai contoh, Andalus dan negara seumpamanya yang pernah dibuka oleh orang Islam dan mereka mendiaminya untuk suatu tempoh, kemudian mereka lemah, lantas negara tersebut dirampas melalui peperangan mahupun bukan peperangan.