Negara Islam dan Negara Bukan Islam Menurut Fiqh

Para ulama membahagikan dunia kepada beberapa negara berdasarkan persepsi Islam dan era zaman mereka. Mereka juga membahagikannya berdasarkan kepentingan agama dan ke­du­niaan umat Islam. Pembahagian tersebut sebagaimana berikut:

1.   Dar al-Islam (Negara Islam):

Ia merupakan setiap kawasan yang didiami oleh orang Islam dan hukum Islam jelas dilaksanakan.

Ulama Syafie berkata:

  • Setiap negeri yang jelas terlaksana hukum Islam, seperti pengharaman zina dan mencuri. Ia didiami oleh orang Islam, sekalipun bersama mereka turut terdapat ahli kitab atau ahli zimmi;
  • ataupun setiap negeri yang dibuka oleh umat Islam dan mereka bersetuju mengekalkannya di bawah pengurusan orang kafir;
  • ataupun setiap negeri yang pernah didiami umat Islam kemudian mereka diusir oleh orang kafir dari negeri itu. ((Hasyiah Bujairimi (4/220) dan maksud yang difahami daripada Nihayat al-Muhtaj (8/81) hingga halaman selepasnya.))

Daripada huraian di atas, ulama Syafie  berpendapat, Dar al-Islam ialah setiap negara yang didiami oleh umat Islam, mereka mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan meng­halalkan apa yang dihalalkan-Nya. Mereka juga turut meng­golongkan ke dalam Dar al-Islam, mana-mana bumi yang ditak­luk oleh umat Islam; dahulu mahupun pada zaman moden, sekali­pun mereka telah keluar daripada bumi tersebut, ia tetap kekal sebagai Dar al-Islam.

Bagaimanapun, Abu Hanifah r.h.m cenderung kepada definisi lain yang lebih luas skopnya. Beliau berkata:

“Dar al-Islam dan Dar al-Kufr (Negara Kafir) dikaitkan kepada Islam atau kufur berdasarkan terserlahnya Islam dan keamanan, ataupun kufur dan ketakutan di negara tersebut. Islam atau kufur ter­ser­lah berdasarkan terserlahnya hukum hakamnya; iaitu ke­amanan dan keadilan di Dar al-Islam, sebaliknya ketakutan dan kezaliman di Dar al-Kufr”.

Perspektif pendapat Abu Hanifah ini ialah, maksud sebenar sesuatu negara dikaitkan dengan Islam atau kufur bukanlah dilihat pada zat Islam dan kufur, tetapi yang dimak­sudkan ialah keamanan dan ketakutan. Ertinya: Jika umat Islam memiliki keamanan di sesuatu negara secara mutlak, maka ia adalah Dar Islam. Sekiranya keamanan dimiliki oleh non-muslim secara mutlak sedangkan orang Islam dalam ketakutan secara mutlak, maka ia adalah Dar Kufr. Oleh itu, hukum bagi beliau adalah di atas dasar keamanan dan ketakutan, bukan Islam dan kufur. Mengambil kira keamanan dan ketakutan adalah lebih utama. ((Bada`i’ as-Shona`i’ (7/13-131), Ibnu ‘Abidin (3/253) dan Mausu’ah al-Fiqh, Kuwait (20/202,203).))

Dengan ini, Abu Hanifah melihat kepada perlaksanaan bukan kepada kepercayaan, kerana ia di dalam hati. Begitu juga, beliau tidak melihat kepada kata-kata, kerana kata-kata tanpa pengamalan merupakan musibah, sifat nifaq dan sia-sia.

2.   Dar al-Harb (Negara Perang):

Orang Islam menggunakan nama Dar al-Harb dengan maksud: Negara yang memerangi orang beriman, iaitu “negara Islam”, dan wujud permusuhan antara negara tersebut dengan orang Islam. Ia juga mahu menghapuskan orang Islam, melakukan persiapan untuk memerangi mereka, menghasut agar menentang mereka, mengisytiharkan perang dan menyerang kampung halaman orang Islam. Atas dasar inilah permusuhan antara orang Islam dan kafir pada masa lampau cukup hebat. Oleh kerana itu, definisi bagi Dar al-Harb pada masa dahulu didatangkan selari dengan negara perang pada zaman mereka.

Sedangkan pada hari ini, definisi Dar al-Harb diketahui umum, iaitu negara yang mengisytiharkan perang ke atas orang Islam atau satu wilayah daripada wilayah mereka dengan tujuan menghapus, menceroboh dan permusuhan. Sementara negara yang tidak mengisytiharkan perang ke atas muslimin, ia tidak dikira Dar al-Harb, sebaliknya digolongkan sebagai Dar ‘Ahd (Negara Perjanjian) atau Dar Shulh (Negara Perdamaian) dan sebagainya sebagaimana akan dibicarakan nanti.

Harta Orang Kafir Harbi (Yang Diperangi)

Sekumpulan orang yang mengikut hawa nafsu, mengaku ber­agama Islam telah terjebak melakukan kerja jahil dengan meng­­­halalkan harta non-muslim. Mereka mendakwa non-muslim sebagai kafir harbi dan negara mereka sebagai negara harb (perang). Mereka mengheret umat Islam kepada banyak tohmahan, prejudis dan tuduhan sebagai bangsa liar dan khianat. Elok kita terangkan pandangan ulama tentang persoalan ini.

Para ulama berkata: Apabila seorang muslim memasuki Dar al-Harb yang mengisytiharkan perang terhadap Islam; dia memasuki negara tersebut melalui perlindungan keamanan. Kemudian dia mengambil harta seorang kafir harbi di negara tersebut untuk berurusan dalam perdagangan, wadi‘ah (deposit), belian atau jualan secara hutang, atau qiradh (pelaburan), maka nilai harta yang ditanggungnya itu wajib dilangsaikan kepada kafir harbi tersebut mengikut tuntutan aqad (kontrak).

Apabila kafir harbi tersebut keluar (daripada negaranya) ke negara Islam dengan memperolehi perlindungan keamanan, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman ke atas muslim tadi agar dia melunaskan kewangan tersebut menggunakan hartanya. Iaitu sebagaimana dia menjatuhkan hukuman bagi orang muslim yang berada di Dar al-Islam.

Ini kerana hukum hakam ke atas muslim tetap berjalan di mana sahaja dia berada. Kita tidak menggugurkan hak kewajipan kerana berada di sesuatu tempat, sebagaimana kewajipan solat tidak gugur kerana berada di Dar al-Harb. Hukum ini dikenakan jika pemilik harta tersebut seorang kafir harbi dan negaranya adalah negara harb (perang) ((Lihat berkenaannya di dalam: al-Umm oleh as-Syafie  (4/288), Kasysyaf al-Qina’ (3/109), Mughni al-Muhtaj (4/230).)). Apa pula pandangan kita jika negara tersebut Dar Aman atau Dar ‘Ahd ataupun wujud antara umat Islam dan negara tersebut perjanjian, pertukaran wakil diplomatik, para duta, hubungan perdagangan dan import, transaksi kewangan, bank dan lain-lain. Bukankah (sewenang-wenang menghalalkan harta non-muslim secara tidak betul) merupakan suatu yang tidak berperaturan?!

Ya, hukum asal harta kafir harbi adalah harus (diambil). Tetapi ijma’ para ulama fiqh, ia haram (diambil) dan kehormatan harta mereka tetap dihormati dan dipelihara dalam beberapa situasi, antaranya:

1.    Apabila seorang muslim memasuki Dar al-Harb secara aman atau dia menjadi tawanan. Manakala orang kafir tersebut memberi kepercayaan berkaitan jiwa dan harta kepadanya. Maka tidak halal dia mengkhianati mereka. Lantaran dia telah memberi jaminan kepada mereka tentang dirinya. Ini kerana perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan. Walhal, pengkhiana­tan tidak dibenarkan dalam Islam.

Jika dia mencuri atau merampas sesuatu daripada mereka (kafir harbi), ia wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya datang ke Dar al-Islam, ia wajib dipulangkan kepada mereka. Jika mereka tidak datang, dia hendaklah mengutuskannya kepada mereka. Ini kerana dia mengambilnya secara haram, oleh itu dia wajib memulangkannya, sama seperti jika dia mengambil harta orang Islam sendiri. ((Lihat Bada`i’ as-Shona`i’ (7/133), al-Khursyi (2/116), Mughni al-Muhtaj (4/239) dan al-Mughni oleh Ibnu Qudamah (8/458).))

2.         Apabila kafir harbi yang berada di Dar al-Harb memeluk Islam, darahnya terpelihara, harta dan anak kecilnya terkecuali daripada dijadikan tawanan perang. Hartanya tidak boleh diambil walau di mana sahaja ia berada atau dijumpai ((Al-Mughni (8/94,428), Kasysyaf al-Qina’ (3/58) dan Mughni al-Muhtaj (4/226).)). Perjanjian antarabangsa yang mengatur peraturan ini telah wujud sekarang.

3.   Dar al-‘Ahd (Negara Perjanjian):

Maksud al-‘Ahd ialah keamanan, zimmah, pemeliharaan dan penjagaan kehormatan. Setiap perjanjian sesama manusia adalah ‘ahd. Dar al-‘Ahd dalam Islam pula ialah setiap negara iaitu penduduk dan pemerintahnya berdamai dengan orang Islam dengan persetujuan menghentikan persengketaan, mewujudkan perdamaian atau tidak menceroboh. Sama ada dengan tukaran yang dibayar kepada muslimin ataupun tanpa tukaran.

Apabila ketua pemerintah Islam melihat mengadakan perdamaian dengan Dar al-Harb mempunyai kepentingan bagi umat Islam, perdamaian tersebut diharuskan. Allah berfirman:

﴾وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada per­da­maian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. (al-Anfal: 61)

Rasulullah s.a.w juga mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Mekah semasa al-Hudaibiyah. Permuafa­katan yang berlaku antara orang Islam hari ini dengan negara non-muslim, kecuali Israel, merupakan perjanjian (‘Ahd) dan persetujuan keamanan.

Keamanan Bagi Warga Dar al-‘Ahd:

Ketua pemerintah Islam bertanggungjawab menghalang orang Islam dan zimmi daripada menyakiti dan mengganggu warga Dar al-‘Ahd kerana mereka memperolehi perlindungan keselamatan jiwa dan harta mereka melalui perjanjian damai. Oleh itu, tidak dibenarkan menculik, meragut, menceroboh, menunggu peluang untuk bertindak jahat atau membunuh mereka dengan apa jua alasan. Tindakan tersebut merupakan satu pengkhianatan dan angkara keji terhadappihak yang berdamai. Ia tidak harus dilakukan oleh muslim dalam apa keadaan dan situasi sekalipun. Termasuk dalam tindakan (yang dilarang) ini ialah merampas kapal terbang dan lain-lain lagi.

Bagaimana pula pandangan terhadap orang yang mem­bunuh ahli zimmah atau ahli kitab di kampung halaman umat Islam dengan dakwaan mereka mempunyai kesalahan?! Sekira­nya benar terdapat kesalahan, di sana ada undang-undang yang wajib dihakimi oleh semua pihak supaya tidak berlaku perkara buruk atau kekacauan dan seterusnya dikaitkan dengan Islam dan orang Islam, padahal mereka tiada apa-apa kaitan dengannya.

Meskipun begitu, terdapat beberapa pendapat berkenaan syarat perjanjian damai bagi setengah ulama. Ia berdasarkan perbezaan zaman, masa dan kedudukan pihak yang menang. Sementara hari ini, orang Islam mesti meneliti segala perkara dengan kefahaman dan pandangan yang jelas supaya mereka tidak terdedah kepada kebencian, kritikan dan penghinaan.

4.   Dar al-Baghy (Negara Pemberontak)

Al-Baghy asalnya bererti zalim dan melampaui had melakukan kerosakan. “Lelaki melakukan baghy” iaitu lelaki tersebut bersikap sombong, menceroboh dan menyimpang daripada kebenaran. “Kumpulan yang baghiyah” ialah kumpulan yang zalim dan tidak mentaati pemerintah yang adil. Contohnya, sabda Rasul s.a.w kepada ‘Ammar bin Yasir r.a:

“Kasihan ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh kumpulan yang baghiyah (memberontak)”.

Pengertian syarak untuk al-baghy ialah: Penentang dan orang yang tidak mentaati pemerintah yang adil. Mereka enggan menunaikan kewajipan seperti zakat, cukai tanah dan lain-lain.

Dar al-Baghy dari segi istilah ialah: Sebahagian daripada negara Islam yang dikuasai oleh sekumpulan orang Islam. Namun mereka menentang pemerintah yang sah berdasarkan hujah yang mereka takwilkan lalu menjadi alasan kepada penentangan mereka. Mereka bertahan dan berkubu di bumi yang mereka kuasai. Mereka melantik pemerintah dari kalangan mereka. Selain itu, mereka juga memiliki ketenteraan dan kekebalan (pertahanan).

Pada hari ini, Dar al-Baghy menyamai revolusi tentera yang berlaku kini, rampasan kuasa dan perlantikan diri mereka sendiri sebagai pemerintah tanpa pilihanraya, bai‘ah ataupun kerelaan umat Islam. Umat ‘disalai’ api kezaliman mereka. Biasanya mereka tidak berkelayakan untuk memerintah dan tidak tahu urusan rakyat. Dengan itu, umat tersungkur di bawah genggaman tangan dan injakan kaki mereka. Umat hilang kekuatan dan musnah.

Bagi para pemberontak ini, terdapat hukum hakam yang boleh dirujuk kepada buku-buku fiqh ((Lihat Fath al-Qadir (4/408), Bada`i’ as-Shona`i’ (7/140), ad-Durr al-Mukhtar (3/338) dan al-Mughni (8/107).)) .

5.   Dar al-Bid’ah (Negara Bid‘ah)

Manusia pada zaman moden kenal dengan negara-negara umat Islam yang tidak berhukum dengan Islam secara sempurna. Sebaliknya, ia menjalankan undang-undang wadh‘i (undang-undang buatan manusia), ataupun undang-undang tempelan, ataupun sistem pemerintahan tentera, ataupun bukan tentera yang memerintah mengikut hawa nafsunya di Dar al-Bid‘ah.

Dar al-Bid‘ah ialah negara yang telah hilang hukum sunnah di dalam negara tersebut, sebaliknya muncul di dalamnya hukum bid‘ah dan hawa nafsu yang wajib ditentang.

6.   Ad-Dar al-Maslubah (Negara Yang Dirampas)

Demikian mereka namakan negara yang pernah berada di tangan orang Islam dan memerintah dengan Islam, kemudian mereka lemah dan kekuatan mereka mula rapuh, lantas orang kafir dan tentera non-muslim mengalahkannya. Dengan itu, mereka menamakan negara tersebut dengan nama ad-Dar al-Maslubah. Para ulama mewajibkan jihad untuk mengembalikan­nya. Sebagai contoh, Andalus dan negara seumpamanya yang pernah dibuka oleh orang Islam dan mereka mendiaminya untuk suatu tempoh, kemudian mereka lemah, lantas negara tersebut dirampas melalui peperangan mahupun bukan peperangan.